Gantung hadiri sidang DUN: Zambry tidak pernah iktiraf Sivakumar

Diterbitkan: Khamis, 13 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau tidak pernah mengiktiraf V.Sivakumar sebagai Speaker sejak Barisan Nasional (BN) menerajui kembali kerajaan negeri pada Februari lepas apabila Sivakumar sekali lagi menggantung beliau daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan didenda RM250,000.

Zambry yang juga anggota DUN kawasan Pangkor berkata sejak BN mengambil alih kerajaan negeri selepas mempunyai majoriti dengan disokong tiga Adun bebas serta melantik Speaker yang baru, beliau tidak pernah mengiktiraf Sivakumar sebagai Speaker.

"Dia cuma mahukan saya memberi respons dan keutamaan komen kepada dia saja. Saya rasa tidak perlulah sebab saya tidak pernah iktiraf dia pun, sebelum (melantik Speaker) yang baru memang ya, tetapi selepas itu saya tidak pernah lagi iktiraf dia.

"Jadi saya tidak mahu tahu apa yang dia lakukan, sebab itu saya kata 'Siva oh! Siva', saya kasihankan dia, " katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan memperkasa dan insentif kepada Persatuan Belia Negeri Perak di kediaman rasmi di sini hari ini.

Semalam, Sivakumar yang juga Adun Tronoh dan bekas Speaker mengumumkan penggantungan Zambry selama tiga bulan daripada menghadiri sidang DUN dan didenda RM250,000 dengan alasan Zambry telah menghadiri sidang DUN pada 7 Mei lepas walaupun telah digantung sebelum itu.

Sivakumar yang masih menganggap dirinya sebagai Speaker dan mengetuai sebuah jawatankuasa yang dipanggil 'Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan' itu turut menggantung Exco Kanan Datuk Hamidah Osman yang juga Adun Sungai Rapat bagi tempoh yang sama serta didenda dengan nilai yang sama.

Selain itu, Timbalan Speaker Hee Yit Foong pula dicadang untuk dipenjarakan selama enam bulan dan didenda RM500,000.

Zambry juga berkata pakatan pembangkang hanya mahu menunjukkan bahawa keadaan di Perak tidak stabil dan rakyat berada dalam keadaan tidak aman.

"Ini adalah sebahagian daripada strategi mereka. Saya yakin mereka tahu bahawa kerajaan di Perak hari ini berada dalam keadaan baik, ekonomi mula rancak dan pelabur mula datang. Jadi, bagi mereka langkah terbaik untuk 'menggoncang' semua ini adalah melalui keadaan huru-hara sana sini di mana orang ramai akan merasa tidak selamat," katanya.

Katanya beliau tidak mahu terpengaruh dengan 'rentak tarian' yang dimainkan Sivakumar dan pakatan pembangkang kerana semua tindakan mereka adalah taktik 'perang psikologi'.

Ketika ditanya mengenai persidangan DUN akan datang yang dijangka lebih 'panas', beliau berkata pihak kerajaan melakukan apa yang terbaik.

"Biarkan mereka dengan apa yang nak jadi, apapun kita buat dengan cara terbaik. Seluruh dunia menyaksikan siapa yang memulakan dulu (pada sidang DUN 7 Mei lepas). Siapa yang mula menyeberangi kawasan kita...mereka tidak pernah menyatakan tindakan ganas mereka," katanya.

Semalam, bekas Speaker itu turut mengumumkan 'persidangan DUN Perak' akan diadakan pada 2 September ini pada 10 pagi dan sidang itu tidak perlu mendapat perkenan Sultan Perak kerana ia merupakan sidang yang ditangguhkan dan beliau mempunyai kuasa untuk memanggil persidangan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan