Indonesia sahkan suspek pengganas ditembak mati bukan Noordin

Diterbitkan: Rabu, 12 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

...Polis Indonesia hari ini mengesahkan bahawa mayat lelaki yang ditembak mati di Temanggung pada Sabtu lalu ialah pengganas yang dikenali sebagai Ibrohim, 37, yang terlibat merancang dan mengatur pengeboman di Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di sini pada 17 Julai lepas.Foto AP
...Polis Indonesia hari ini mengesahkan bahawa mayat lelaki yang ditembak mati di Temanggung pada Sabtu lalu ialah pengganas yang dikenali sebagai Ibrohim, 37, yang terlibat merancang dan mengatur pengeboman di Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di sini pada 17 Julai lepas.Foto AP

JAKARTA: Polis Indonesia hari ini mengesahkan bahawa mayat lelaki yang ditembak mati di Temanggung pada Sabtu lalu ialah pengganas yang dikenali sebagai Ibrohim, 37, yang terlibat merancang dan mengatur pengeboman di Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di sini pada 17 Julai lepas.

Pengesahan identiti Ibrohim adalah hasil ujian DNA yang dijalankan ke atas mayat lelaki itu, kata Ketua Pusat Pengecaman Identiti Mangsa Bencana Polis Indonesia, Brig Jen Eddy Saparwoko pada sidang media di sini hari ini.

Mayat tersebut sebelum ini pernah dilaporkan kemungkinan sebagai Noordin Mohd Top, pengganas yang paling dikehendaki di Indonesia yang dikatakan menjadi dalang di sebalik beberapa tragedi pengeboman di negara ini.

Eddy berkata ujian DNA dengan sampel daripada keluarga Noordin didapati tidak padan tetapi sebaliknya padan dengan sampel daripada keluarga Ibrohim yang tinggal di Kuningan dan dengan itu mayat berkenaan disahkan sebagai Ibrohim.

Menurut polis, Ibrohim yang bekerja sebagai penata bunga di hotel JW Marriott dan menghilang sejak 17 Julai menjadi buruan kerana disyaki membawa bom dalam tiga kotak masuk ke hotel itu dengan menggunakan van pengangkut bunganya.

Bom dalam tiga kotak itulah yang diletupkan oleh dua orang pengebom berani mati pada pagi Jumaat itu, yang meragut sembilan nyawa (termasuk dua pengebom) dan mencederakan lebih 50 orang yang lain.

Ketua Perhubungan Awam Markas Besar Polis Indonesia, Nanan Soekarna pula berkata polis tidak pernah memberi keterangan sebelum ini bahawa lelaki itu adalah Noordin, pengganas yang berasal dari Malaysia yang menjadi buruan di Indonesia sejak sembilan tahun lepas.

Ujian DNA ke atas mayat lelaki yang mati setelah dihujani peluru ketika bersembunyi di sebuah rumah di Desa Kedu, Temanggung, diuji dengan sampel DNA keluarga Noordin dari Johor Baharu dan sampel keluarganya yang lain di Cilacap dan Klaten, Indonesia.

"Namun hasilnya tidak cocok (padan) semuanya," kata Eddy dan menambah namun ujian menggunakan sampel daripada seorang anak lelaki dan perempuan Ibrohim, kemudiannya didapati seratus peratus padan.

Pada sidang media itu juga polis mengumumkan hasil ujian DNA ke atas Dani Permana, yang berasal dari Bogor, yang disahkan sebagai pengebom di Hotel JW Marriott.

Hasil ujian DNA ke atas lelaki yang dipercayai juga pengebom di Ritz Carlton pula, Nana Ichwan Maulana, dari Banten, masih belum selesai dilakukan.

Dua ujian DNA yang sudah selesai dijalankan juga mengesahkan bahawa pengganas yang ditembak mati dalam satu lagi operasi di Bekasi pada 8 Ogos lalu di mana polis turut menjumpai 500 kilogram bahan peledak, ialah Aher Setiawan, 28, dan Eko Joko Santoso, 27.

Menurut Nanan, Aher juga terlibat dalam pengeboman di kedutaan Australia pada 2003 sementara Eko merupakan pembuat bom yang digunakan dalam letupan di kedua-dua hotel mewah tersebut.

"Dalam kejadian ini, Noordin merupakan perancang utama yang hadir dalam beberapa pertemuan kelompok pengganas termasuk di Mampang di sini dan Jati Asih di Bekasi.

"Walaupun dia tidak terlibat secara langsung di lapangan tetapi dialah yang merancang dan memotivasi suspek lain untuk beraksi," katanya dan menambah masih terdapat antara tiga hingga lima orang dalam kumpulan itu yang sedang diburu. Beliau berkata tiga lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian pengebomam di keduadua buah hotel di kawasan Mega Kuningan itu telah juga ditangkap.

Mereka ialah Amir Abdillah yang menjadi penjaga rumah persembunyian pengganas di Bekasi, Aris serta Hendra, penduduk Temanggung yang menyembunyikan Ibrohim dan Noordin.

Nanan bagaimanapun enggan mengulas mengenai rancangan untuk memburu Noordin dan anggota kumpulan pengganasnya, tetapi berkata beliau percaya Noordin masih berada di Indonesia.

"Sekarang fokus polis bukan terhadap Noordin sahaja kerana dia merupakan mastermind tetapi juga merangkumi orang lain yang direkrut olehnya," kata beliau.

Beliau berkata dari siasatan ke atas mereka yang ditangkap, polis mendapati rancangan untuk mengebom keduadua buah hotel itu sudah dibuat oleh kumpulan pengganas tersebut sejak April lalu.

Pada sidang media itu juga, polis turut menayangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di keduadua hotel itu, yang menunjukkan pergerakan Ibrohim pada 8 Julai sedang melakukan survei lokasi dengan Nana Maulana dan pada 16 Julai, Ibrohim memasukkan bom dalam kotak bunga melalui pintu masuk barang di JW Marriott.

Visual pada 17 Julai pula menunjukkan Ibrohim membawa masuk Nana Maulana ke hotel Ritz Carlton melalui pintu masuk pekerja pada pukul 6.15 pagi, kira-kira 90 minit sebelum letupan berlaku.

Sementara itu di Hospital Pusat Polis Dr Sukamto di Keramat Jati di sini, beberapa keluarga sudah menuntut mayat pengganas yang terbunuh itu. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan