A(H1N1): Kerajaan akan umum garis panduan penutupan sekolah

Diterbitkan: Rabu, 12 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANGL: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata garis panduan standard untuk penutupan sekolah akibat jangkitan Influenza A (H1N1) akan diumum hari ini.

"Esok (hari ini), jawatankuasa teknikal Kementerian Kesihatan (bagi H1N1) akan bermesyuarat untuk pastikan garis panduan ini terperinci dan boleh dilaksanakan secepat mungkin," katanya selepas melakukan lawatan mengejut ke Hospital Serdang untuk meninjau rawatan pesakit H1N1.

"Selepas mesyuarat teknikal esok, saya akan umumkan langkahlangkah itu dan akan maklumkan kepada Kementerian Pelajaran," katanya.

Liow berkata garis panduan baru itu akan diselaraskan dengan amalan semasa memandangkan usaha kerajaan kini ialah ke arah mengurangkan pandemik itu.

"Garis panduan yang digunakan dahulu telah berbeza kerana keadaan kini berlainan. Kita perlu garis panduan yang baru untuk pastikan semua sekolah termasuk universiti dalam negara, mempunyai prosedur operasi standard bagi penutupan," katanya.

Pada masa ini sekolah mengambil tindakan berbeza dengan ada antaranya yang ditutup jika ada murid atau pelajar yang mempunyai simpton jangkitan seperti selesema.

Berikutan peningkatan dalam kes H1N1, Liow mengingatkan doktor swasta dan hospital supaya menggunakan sistem ujian rapid yang dibenarkan bagi membantu kerajaan memerangi pandemik itu.

"Mulai sekarang doktor di klinik swasta atau hospital boleh guna Rapid Test untuk memastikan sekiranya pesakit mempunyai H1N1 dan jika positif A maka boleh kita memberi rawatan ubat anti viral dengan cepat. Kita harap pihak doktor di klinik swasta dan hospital swasta dapat ambil langkahlangkah ini untuk membantu dan merawat pesakit-pesakit H1N1," katanya.

Mengenai harga topeng yang kini lebih mahal, Liow meminta kerjasama daripada pembekal supaya tidak menaikkan harganya.

"Ini adalah untuk keselamatan, semua pihak perlu menyumbang dan membantu. Jika harga topeng juga meningkat, saya rasa ia adalah tidak patut.

"Pembekal perlu lebih bertanggungjawab dan tidak sepatutnya menaikkan harga. Inilah masanya untuk semua sektor tampil dan membantu kerajaan dan rakyat memerangi pandemik ini," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan lebih, beliau berkata perkara itu di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan