Permatang Pasir: PAS, BN umum calon Jumaat ini

Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kedua-dua parti utama yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pasir - Barisan Nasional (BN) dan PAS akan mengumumkan calon masing-masing Jumaat ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya akan mengumumkan calon mereka pada malam Jumaat ini.

"Malam Jumaat ini, di kawasan Permatang Pasir, kami akan menamakan calon PAS," kata beliau ketika dihubungi pagi tadi.

Pakatan Rakyat, yang dianggotai PAS, akan mengadakan mesyuarat Khamis ini.

Kata beliau, pihaknya sedang mempertimbangkan empat hingga enam nama yang telah disyorkan oleh PAS Pulan Pinang.

"Calon ramai, ada yang dari Permatang Pasir sendiri, ada juga dari Permatang Pauh malah ada nama yang diangkat oleh PAS Negeri dari luar Permatang Pauh sendiri," katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr. Mujahid Yusof Rawa ketika dihubungi memberitahu, PAS Pulau Pinang telah menyerahkan senarai nama kepada Jawatankuasa PAS pusat untuk memilih calon yang sesuai mewakili parti itu.

"Saya jangka Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) akan umumkan calon kita. Mungkin dalam masa dua atau tiga hari ini," katanya.

Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS pusat berkata, pihaknya telah bermesyuarat kelmarin dan beberapa nama telah dikenal pasti manakala keputusan akhir akan ditentukan oleh Majlis Syura.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Permatang Pasir akan berlangsung pada 25 Ogos ini. Penamaan calon pada 17 Ogos.

Ketika ditanya mengenai peluang PAS mempertahankan kerusi tersebut, Mujahid berkata: "Kita yakin boleh pertahankan kerusi itu (Permatang Pasir)."

"Dalam masa yang sama kita perlu ambil iktibar apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai, kita menang tipis.

"Apa yang penting dalam pilihan raya kecil kali ini PAS Pulau Pinang mahu majoriti pada pilihan raya umum yang lalu dapat dikekalkan," katanya.

Ditanya sama ada pemilihan tarikh pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang ditetapkan pada bulan puasa akan menjadi masalah kepada PAS, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parti Buntar berkata, perkara tersebut tidak menjadi masalah.

"Bagi pihak PAS kita sentiasa bersedia, kita tidak tahu apa agenda mereka (SPR) pilih tarikh sedemikian. Namun kita telah bersiap sedia dari awal lagi.

"Dalam masa yang sama jentera kita di peringkat negeri telah mula bergerak sejak awal lagi. Kita mahu memastikan kerusi Permatang Pasir terus menjadi milik kita," katanya.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 63.

Pada pilihan raya umum ke-12, Hamdan berjaya menewaskan calon Umno daripada Barisan Nasional, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

BN JUGA UMUM

Dalam pada itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang dipetik Bernama berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan nama calon Umno bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Jumaat ini.

Koh yang juga Presiden Gerakan berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN Negeri buat pertama kali di Pulau Pinang semalam.

Kawasan pilihan raya itu mempunyai 20,289 pengundi (termasuk pengundi pos), dengan 72.36 peratus terdiri dari kaum Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan