Kematian Teoh: Tiada petanda adanya pergelutan

Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAKAR Perunding Kanan Perubatan, Jabatan Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim memberikan keterangan pada prosiding inkues hari ini. Beliau merupakan saksi yang ke-10. foto The Star oleh RAYMOND OOI
PAKAR Perunding Kanan Perubatan, Jabatan Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim memberikan keterangan pada prosiding inkues hari ini. Beliau merupakan saksi yang ke-10. foto The Star oleh RAYMOND OOI

SHAH ALAM: Pakar forensik memberitahu prosiding inkues Teoh Beng Hock hari ini bahawa tiada bukti kecederaan ketara pada mayat mendiang yang menunjukkan berlakunya pergelutan sebelum setiausaha politik Exco Selangor itu dipercayai terjatuh dari Plaza Masalam bulan lalu.

Malah Pakar Perunding Kanan Perubatan Jabatan Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim dalam keterangannya menambah, Teoh mati setelah mengalami kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi.

"Tidak terdapat kesan kecederaan akibat pergelutan ketara pada si mati. Juga tidak terdapat tanda-tanda kecederaan ketara akibat menangkis serangan di bahagian luar tangan," katanya.

Dr. Khairul memaklumkan bahawa berdasarkan siasatan punca kematian adalah disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.

PERKEMBANGAN INKUES TEOH HARI INI

Katanya, Teoh dipercayai mendarat (jatuh) dengan keadaan kakinya.

"Ia lebih pada kaki kanan dan dipercayai badannya sedikit condong ke kanan, punggung juga mungkin jatuh bersama... mungkin kemudian, mungkin serentak," katanya.

Beliau merupakan saksi ke-10 inkues ini dan mula memberi keterangan sejak pagi tadi.

Dr. Khairul memberitahu mahkamah bahawa hasil pemeriksaan dan bedah siasat yang dijalankan mendapati mayat mengalami keceraan yang teruk terutamanya di bahagian kanan badannya.

Beliau juga menyatakan bahawa semua kecederaan yang dialami Teoh bersesuaian dengan kesan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Selain itu kata beliau, tiada kesan darah pada tingkap yang dipercayai merupakan tempat Teoh terjatuh dari tingkat 14 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan Plaza Masalam di sini, mahupun kesan barang-barang bertaburan atau pecah di situ.

Dr Khairul menjalankan bedah siasat keatas mayat Teoh pada 17 Julai lepas bersama-sama dengan Pensyarah Patalogi Forensik, Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Prashant Naresh Samberkar.

Kehadiran Dr. Prashant dalam proses bedah siasat berkenaan adalah berdasarkan permintaan pihak keluarga Teoh.

Dr. Khairul ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas menjelaskan bahawa beliau percaya Teoh telah mati kurang dari 36 jam daripada tarikh bedah siasat tersebut dijalankan.

"Saya juga berkesempatan memeriksaan kaku mayat di tempat kejadian...didapati ia telah kaku iaitu pukul 7.30 malam pada 16 Julai.

"Ini bermakna si mati mungkin telah mati enam atau lapan jam sebelum itu," katanya.

Semasa memberi keterangan, Dr. Khairul turut menunjukkan demonstrasi mengenai kemungkinan cara badan si mati mendarat di koridor tingkat 5, Plaza Masalam iaitu lokasi Teoh ditemui mati pada 16 Julai lepas.

Koroner membenarkan wartawan dan pemerhati yang berada di galeri awam untuk berdiri bagi melihat demonstrasi tersebut.

Bagaimanapun suasaana mahkamah menjadi sedikit kecoh apabila seorang lelaki Cina bangun dan berkata: "Tak nampak!"

Koroner yang pada mulanya menyangka lelaki berkenaan adalah saudara kepada mendiang Teoh membenarkan beliau tampil ke hadapan untuk melihat dengan lebih dekat.

Namun setelah diberitahu bahawa lelaki berkenaan bukan saudara kepada Teoh, koroner meminta lelaki berkenaan supaya hanya melihat demonstrasi berkenaan di bahagian hadapan dari kawasan galeri awam.

Lelaki tersebut kemudian terus bersuara: "Koroner Azmil Muntapha Abas...saya masih tak nampak".

Koroner kemudiannya berkata: "Tak mengapa, nanti kamu boleh lihat rakaman... semua kita rakam."

Dr Khairul juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dan Dr. Prashant turut meninjau tempat kejadian iaitu di koridor tingkat 5 pada pukul 6.40 petang pada 16 Julai lepas bagi mendapatkan gambaran yang jelas mengenai kecederaan si mati.

"Ketika sampai, saya dapati ianya (mayat) ditutup dengan plastik hitam, saya dapati terdapat satu mayat lelaki Cina yang terbaring mengiring ke kanan dengan kesan darah kering... tangan kiri di atas dan tangan kanan terhimpit oleh badannya.

"Kaki kiri berada di atas kaki kanannya dan pada kaki kanan si mati masih tersarung kasut, bagaimanapun pada kaki kiri tidak ada kasut.

"Saya dapati ada kesan darah berhampiran dengan mulut si mati dan kami juga memeriksa kawasan berhampiran mayat dan mendapati terdapat kesan calar pada lantai di tempat kejadian berhampiran dengan bucu saluran air hujan," katanya.

Beliau bersama Dr. Prashant turut berbincang untuk menentukan bagaimana keadaan teoh semasa jatuh.

"Saya dan Dr. Prashant juga berbincang untuk menentukan bagaimana cara si mati mendarat ke lantai.

"Kami juga memeriksa kasut yang terdapat pada kaki si mati dan menjumpai sebelah lagi kasut yang berada tidak jauh dari mayat," katanya.

Semasa tinjauannya, Dr. Khairul juga berkata beliau turut memandang ke tingkat atas bangunan tersebut untuk mencari tingkat di mana si mati berkemungkinan jatuh dan didapati ada satu tingkap yang terbuka luas bertentangan dengan kedudukan mayat si mati.

"Saya diberitahu oleh pegawai penyiasat, ASP Ahmad Nazri Zainal bahawa tingkap itu berada di tingkat 14 dan Dr. Prashant ada mengambil gambar tingkap itu dari bawah," katanya.

Prosiding inkues yang sepatutnya bersambung pada sesi petang selepas mahkamah berhenti rehat kira-kira pukul 1 tengah hari tadi terpaksa ditangguhkan sehingga esok ekoran saksi ke-10, Dr Khairul tidak sihat.

Koroner Azmil memberi kebenaran kepada Dr. Khairul supaya menyambung keterangannya esok pagi.

Peguam pihak kerajaan, Tan Hock Chuan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil saksi ke-11 iaitu Dr. Prashant untuk memberikan keterangan selepas Dr. Khairul selesai memberi keterangannya.

Dalam pada itu, peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo turut mengemukakan permohonan kepada koroner supaya prosiding esok bermula pada pukul 10.30 pagi berikutan beliau terpaksa menghadiri satu prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada awal pagi.

Tan tiada bantahan terhadap permohonan tersebut.

Koroner Azmil membenarkan permohonan Gobind, prosiding akan bersambung semula pukul 10.30 pagi esok.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan