Sah! kesan pada tangga bukan darah, kata peguam

Diterbitkan: Isnin, 10 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERIKSA... Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia dengan dibantu oleh dua pakar bersiap sedia untuk menjalankan ujian DNA dan forensik di tangga tingkat 14 dan 15 Plaza Masalam, Shah Alam kira-kira 11.40 pagi tadi. Ujian itu berakhir empat jam kemudian. - Foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN.Foto THE STAR Oleh: KAMARUL ARIFFIN
PERIKSA... Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia dengan dibantu oleh dua pakar bersiap sedia untuk menjalankan ujian DNA dan forensik di tangga tingkat 14 dan 15 Plaza Masalam, Shah Alam kira-kira 11.40 pagi tadi. Ujian itu berakhir empat jam kemudian. - Foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN.Foto THE STAR Oleh: KAMARUL ARIFFIN

SHAH ALAM: Ujian ke atas kesan calitan pada tangga antara tingkat 14 dan 15 Plaza Masalam di sini - tempat Teoh Beng Hock ditemui mati bulan lalu, mendapati ia bukan kesan darah.

Peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata, hasil ujian awal mendapati kesan tersebut dipercayai cecair antikarat semata-mata.

Malah beliau memberitahu bahawa hasil tinjauan di koridor tingkat lima menjumpai kesan serabut seperti fiber yang dipercayai daripada seluar Teoh.

"Selepas dibuat ujian terperinci ia didapati bukan darah... dalam masa yang sama, kami juga telah buat pemeriksaan mendalam sekali lagi di tingkat 14, 15 dan juga di tingkat lima di mana mayat dijumpai.

"Di situ kami juga telah lihat dua atau tiga petunjuk baru... kami harap ia dapat memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan dengan apa yang berlaku pada malam kejadian.

"Pihak ahli kimia telah mengambil spesimen itu ke makmal untuk membuat analisis dan kami harap satu laporan terperinci akan disediakan secepat mungkin untuk dikemukakan kepada koroner," kata beliau kira-kira pukul 3.10 petang tadi.

Ujian itu dijalankan oleh tiga orang iaitu pakar DNA, Dr. Seah Lay Hong; bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI), Amidon Anan dan saintis forensik Thailand, Somchai Chailermsooksant.

Mereka menjalankan ujian itu kira-kira empat jam.

Gobind juga berkata sehingga kini beliau berpuas hati dengan hasil siasatan yang dijalankan.

"Kami berpuas hati, tetapi subjek kepada laporan yang diterima sekarang kerana ujian ini dilaksanakan bersama pakar kami yang mengesahkan bahawa ia bukan kesan darah.

"Jadi kami terima, pihak ahli kimia dan forensik akan mengeluarkan laporan lengkap," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mendapatkan khidmat Pengarah Institut Sains Forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasuman bagi turut serta dalam kes ini, Gobind berkata perkara tersebut bergantung kepada hasil laporan pakar forensik tempatan berhubung hasil siasatan mereka.

"Apa yang pakar katakan di mahkamah nanti adalah sangat penting, jika ada bahagian-bahagian tertentu yang kami tidak puas hati kami akan persoalkan nanti.

"Jika kami ada teori tersendiri dan apabila kita kemukakan nanti pakar-pakar berkenaan setuju... jadi tak perlu untuk bawa pakar kita lagi.

"Saksi akan kemukakan bukti dan kita akan kemukakan teori, kalau mereka tak setuju baru kami akan panggil pakar kami untuk jelaskan sebab apa kami tak setuju dengan siasatan mereka.

"Selepas itu, baru kami akan putuskan sekiranya perlu dipanggil Dr Pornthip dan seorang lagi pakar forensik patologi dari Australia," katanya.

Sebelum ini Dr Pornthip dikatakan akan menyertai pasukan peguam pihak keluarga Teoh bagi menjalankan siasatan lanjut ditempat kejadian.

Dr Pornthip merupakan pakar forensik patologi yang cukup terkenal dan pernah menyelesaikan banyak kes pembunuhan di Thailand.

Selain Somchai, Dr Triyarith Temahivong yang juga dari Institut Sains Forensik Thailand, didatangkan khas oleh kerajaan Selangor sebagai pemerhati dalam prosiding inkues itu.

Jelas Gobind mahkamah telah membenarkan kedua-dua pakar tersebut untuk turut serta mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai prosiding, dan mendengar keterangan daripada pakar forensik kerajaan nanti.

Teoh, 30, setiausaha politik seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas mendiang memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan tersebut 16 Julai lepas.

Teoh merupakan antara saksi yang dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan SPRM berkaitan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan beberapa Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

BERITA TERDAHULU

Kesan darah di tangga perlu diuji, inkues ditangguh hingga esok

SHAH ALAM: Prosiding inkues setiausaha politik exco Selangor Teoh Beng Hock ditangguhkan sehingga esok selepas 15 minit bermula bagi membolehkan pakar DNA dan forensik menguji kesan tompokan yang dipercayai darah yang didapati diantara tangga tingkat 14 dan 15 Plaza Masalam.

Koroner Azmil Muntapha Abas membenarkan permohonan itu yang dibuat oleh peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh pada pukul 10.05 pagi tadi.

Prosiding bermula pukul 10 pagi.

Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua peguam, pakar DNA, Dr Seah Lay Hong, pembantu pakar forensik dari Thailand dan dua pakar forensik tempatan dijadual akan pergi ke Plaza Masalam untuk mendapatkan spesimen tersebut.

Dalam permohonan Gobind, beliau mendakwa menemui kesan tompokan yang dipercayai darah tersebut dalam lawatannya ke tempat kejadian pada Jumaat lalu.

"Pada lawatan itu kami telahpun melihat bahagian tangga iaitu di tangga tingkat 14 dan 15... dalam masa itu kami telahpun melihat kesan yang kami percaya ialah kesan darah, selain itu dalam pejabat SPRM, terdapat kesan-kesan yang mencurigakan.

"Perkara ini telah dibawa kepada perhatian pegawai penyiasat dan kami telah meminta supaya kawasan tersebut dikawal tetapi sehingga hari ini masih belum ada pemeriksaan dilakukan ke atas kesan-kesan tersebut.

"Kami berpendapat perkara ini cukup penting dan oleh itu pakar DNA dan pakar forensik perlu mengambil spesimen kesan-kesan ini untuk menentukan sama ada ia adalah kesan darah, dan jika ia adalah darah, sama ada ia darah si mati," katanya.

Sementara itu peguam yang mewakili kerajaan, Tan Hock Chuan berkata pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan tersebut demi mendapatkan kebenaran.

"Untuk mendapatkan kebenaran tentang apa yang berlaku, pihak pendakwa tidak ada apa-apa bantahan terhadap permohonan tersebut," katanya.

Tan juga memberitahu mahkamah bahawa ujian yang akan dijalankan pada kesan tompokan tersebut adalah bagi mendapatkan kepastian bagi dua perkara.

"Pertamanya ujian tersebut adalah bagi mengenal pasti sama ia adalah darah manusi ataupun tidak... dan jika darah manusia, ia adalah untuk dipastikan sama ada ia darah Teoh ataupun tidak," katanya.

Pada prosiding hari ini juga Tan memohon kepada mahkamah untuk membenarkan seramai 23 saksi dikecualikan daripada hadir ke mahkamah setiap hari sehingga tiba giliran mereka untuk memberi keterangan.

Antara 23 saksi itu termasuklah wartawan The Star, beberapa kenalan Teoh dan pengawal keselamatan di Plaza Masalam.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan