A (H1N1): Lapan lagi kematian dilaporkan, jumlah kematian kini 26

Diterbitkan: Isnin, 10 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Lapan lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan semalam, menjadikan jumlah kematian kepada 26 di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tujuh kematian melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan sesetengahnya dilaporkan lewat berikutan bedah siasat untuk kajian dan pengesahan punca kematian.

Beliau berkata satu kematian dicatatkan pada 3 Ogos, diikuti dua lagi (5 Ogos), empat (6 Ogos) dan satu lagi pada 8 Ogos," katanya kepada pemberita pada majlis penamaan semula Hospital Likas kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di sini semalam.

Liow berkata dua daripada kes itu adalah dari Sabah.

Katanya yang pertama melibatkan seorang wanita obes berumur 24 tahun yang dirawat di Hospital Ranau pada 1 Ogos, yang mengalami demam dan batuk selama empat hari.

Wanita itu kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini pada 5 Ogos dan meninggal dunia pada hari yang sama. Satu lagi kes melibatkan lelaki berumur 74 tahun yang menghidap sakit jantung kronik yang dimasukkan ke QEH pada 3 Ogos, yang mempunyai sejarah mengalami masalah kesukaran bernafas selama sebulan dan demam selama sehari sahaja.

Lelaki itu meninggal dunia pada 6 Ogos.

Kes lain termasuk pelajar wanita berumur 20 tahun yang dirawat sebagai pesakit luar bagi penyakit serupa Influenza (ILI) pada 1 Ogos dan meninggal dunia di bilik asrama, lima hari kemudian; seorang lelaki berumur 48 tahun yang menghidap asma dan hipertensi dari Sarawak, dan seorang lelaki obes berumur 37 tahun dari Johor.

Liow berkata pada ketika ini, terdapat sejumlah 62 kes yang sedang menerima rawatan di hospital dan 13 kes lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala lima lagi kes disyaki H1N1 turut ditempatkan di ICU bagi menunggu keputusan.

"Setakat ini di Sabah, kes H1N1 yang disahkan ialah 402 kes, dua kematian, tujuh sedang dirawat di hospital di mana seorang dalam ICU, dan tujuh lagi kes ILI, sementara menunggu pengesahan," katanya dan menurutnya terdapat kanakkanak yang terlibat tetapi tidak mempunyai butirannya. Liow berkata 35 buah sekolah telah ditutup di Sabah akibat wabak H1N1.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata sejumlah 202 kes baru H1N1 yang melibatkan jangkitan tempatan dilaporkan semalam.

Kesemua mereka adalah rakyat tempatan, katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mohd Ismail berkata dengan ini jumlah terkumpul kes H1N1 di Malaysia ialah 1,780 kes.

Beliau turut meminta orang ramai supaya serius mengambil langkahlangkah pencegahan dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan iaitu mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi perlu mendapatkan rawatan segera.

Mereka dalam kategori berisiko tinggi terdiri daripada kanakkanak berumur lima tahun ke bawah, warga tua berusia 65 tahun ke atas, wanita hamil, berpenyakit asma, paruparu kronik, kegagalan fungsi organ, penyakit kardiovascular, penyakit hati, penyakit sistem darah, penyakit saraf, diabetes, obes dan mempunyai daya ketahanan badan yang rendah.

Kumpulan ini akan diberikan rawatan antiviral tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal, dan ianya sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

Dr Mohd Ismail berkata maklumat lanjut mengenai H1N1 boleh didapati melalui hotline yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 atau melayari laman web kementerian di http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan