Saya tidak hina Islam - kata Jeff Ooi

Diterbitkan: Ahad, 9 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AHLI Parlimen Jelutong yang juga ketua staf di Pejabat Ketua Menteri, Pulau Pinang, Jeff Ooi pada sidang akhbar hari ini. Ketika sidang akhbar itu, beliau masih bertegas mahukan Mohd Razali Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar meletak jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi jawatankuasa tetap pusat sehenti (OSC). -- fotoBERNAMA
AHLI Parlimen Jelutong yang juga ketua staf di Pejabat Ketua Menteri, Pulau Pinang, Jeff Ooi pada sidang akhbar hari ini. Ketika sidang akhbar itu, beliau masih bertegas mahukan Mohd Razali Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar meletak jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi jawatankuasa tetap pusat sehenti (OSC). -- fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Di sebalik kecaman dan protes pelbagai pihak sejak seminggu lalu, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menegaskan, beliau tidak pernah membuat kenyataan-kenyataan menghina Islam.

Pada masa yang sama, kata Ooi, beliau juga telah menarik balik kenyataannya yang melabelkan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai kumpulan pengganas atas nasihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Ekoran nasihat dan jaminan daripada Ketua Menteri, saya menarik balik kenyataan dan saya menganggap isu ini sudah selesai," kata Ooi yang juga Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau juga mencabar mana-mana pihak yang menuduhnya sebagai anti-Islam supaya tampil dengan bukti kukuh atau menghadapi tindakan undang-undang.

Ketika ditanya sama beliau akan memohon maaf sebagaimana didesak oleh JIM dan beberapa pertubuhan Islam yang lain, Ooi sekadar berkata: "Saya menarik balik kenyataan saya."

Oleh kerana JIM merupakan sebuah badan yang berdaftar, ujar beliau, ia harus menerima hakikat bahawa pertubuhan berkenaan tidak terlepas daripada pemantauan umum.

"Malah ia juga perlu menerima hakikat bahawa setiap individu berhak untuk memberi pandangan dan pendapat masing-masing," katanya lagi.

Beliau menjadi sasaran kecaman pelbagai pihak berikutan kenyataannya baru-baru ini yang menyifatkan Mohd Razali Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai "ekstremis agama."

Bagaimanapun Ooi masih bertegas mahukan Razali supaya meletak jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi Jawatankuasa Tetap Pusat Sehenti (OSC).

Ooi berkata, sikap Razali yang suka membawa perpecahan dan bertindak di luar bidang kuasanya sebagai ahli Majlis MPPP telah menimbulkan kekhuatiran kepada pelabur dan pemaju di Pulau Pinang.

"Masalah teras ialah keadaan di mana Razali dinamakan sebagai calon ahli majlis MPPP yang sebenarnya mewakili JIM tetapi telah dijadikan sebagai wakil PKR dan beliau perlu dikeluarkan daripada jawatankuasa OSC MPPP," katanya.

Penulis blog dan wakil rakyat penggal pertama ini menambah, pelantikan Razali menjadi bebanan politik kepada kerajaan negeri dan beliau mesti dikeluarkan kerana pihaknya tidak akan berurusan dengannya.

Beliau mendakwa pelabur dan pemaju juga mengancam untuk keluar dari negeri itu berikutan sikap Razali.

Khamis lepas, Ooi mengeluarkan satu kenyataan bahawa beliau akan menarik balik kenyataannya yang menamakan JIM sebagai pertubuhan "ekstremis agama" sebagai tanda akur kepada arahan Ketua Menteri tetapi tanpa meminta maaf.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan terus berdialog dengan kepimpinan JIM dengan kehadiran setiausaha politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik bagi mengelak sebarang salah faham pada masa depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan