Najib: BN ada peluang tawan semula Selangor, tapi...

Diterbitkan: Ahad, 9 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau mahu Selangor dikembalikan semula kepada tangan Barisan Nasional kerana negeri itu adalah penting sebagai nadi negara.

Peluang untuk Barisan Nasional (BN) berkuasa di Selangor tetap ada tetapi dengan syarat partiparti komponen yang diterajui Umno sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah, kata beliau yang juga Presiden Umno semasa berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Umno tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga BN dan perlu berjuang bersamasama dalam satu keluarga besar berganding bahu berjuang secara seia sekata dan sehaluan.

"Ini harapan saya... pesanan saya kalau hendak menang buat cara nak menang, jangan kita kata nak menang tapi perbuatan kita menempah kekalahan," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Najib berkata, perancangan itu yang dipanggil sebagai "Formula Pekan" telah membawa beliau ke persada yang lebih tinggi di dalam politik negara sehingga menjadi Perdana Menteri dan presiden parti.

Najib berkata perubahan-perubahan telah dilakukannya selepas pilihan raya umum 1999, di mana beliau hanya menang dengan majoriti 241 undi, tetapi pada tahun 2004 undi majoriti beliau telah meningkat kepada 22,922 undi dan pada pilihan raya umum lepas undi majoriti itu naik lagi kepada 26,464 undi.

Katanya, beliau tidak dapat melupakan peristiwa pada tahun 1999 itu di mana beliau merasakan masa depan politiknya adalah gelap dan ada pihak yang meramalkan kerjaya politik beliau bakal berakhir.

Namun, Najib berkata, beliau tidak berundur daripada bertanding di Pekan pada pilihan raya selepas itu walaupun beliau boleh bertanding di Lipis dan Paya Besar yang dikatakan kawasan Parlimen yang lebih mudah untuk dimenangi.

Beliau berkata, perubahan atau muhasabah yang dilakukan untuk berjaya perlu jujur seperti yang dilaksanakannya di Pekan kerana berdasarkan muhasabah yang jujur, kesimpulan yang tepat dapat dicapai dan kesimpulan yang dicapai bagi melakukan perubahan itu perlu dilakukan dengan berani.

"Bila buat proses muhasabah saya tegur orang Pekan, maklumat yang mula-mula semua kata "Datuk O.K" tapi sebenarnya "Datuk hampir K.O."

"Kita mesti baca keadaan dengan betul... suara dan denyutan hati rakyat mesti diketahui, kita mesti tahu baca hati nurani rakyat. (Kawasan) Hitam jangan dikata kelabu dan kawasan kelabu jangan dikata putih," katanya.

KEPINCANGAN

Najib berkata, semasa beliau memperbetulkan kepincangan di Pekan, apa yang ditemuinya ialah kelemahan Umno sendiri, antaranya pemimpin-pemimpin tidak turun padang, janji-janji tidak dikotakan, hanya menjaga kebajikan puak masing-masing bukan rakyat umum dan akhirnya pihak lawan menang bukannya kerana mereka kuat.

Selain daripada para pemimpin perlu ikhlas dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, Najib berkata, beliau sendiri turun padang dan bersalaman dengan rakyat jelata sehingga kepada tukang masak jika menghadiri kendurikendara, katanya.

Keikhlasan seorang pemimpin di mata rakyat adalah penting di mana beliau masih menang di peringkat Parlimen, walaupun ada kawasan Dewan Undangan Negeri yang tewas, kerana masih ada juga undi peribadi yang diberikan oleh penyokong-penyokong parti pembangkang yang sukakan beliau, kata Najib.

Najib juga mengingatkan janji mesti ditunaikan kalau seseorang wakil rakyat berjanji untuk berada di pejabatnya setiap Sabtu selain jangan hendak menipu rakyat kalau tidak alamat sepenggal sahaja menjadi Yang Berhormat.

Najib berkata, adalah penting bagi parti untuk mendengar pandangan dan keluhan rakyat kerana ia perlu diterjemahkan oleh parti untuk dijadikan dasar kerajaan.

Apabila dasar kerajaan mengambil kira harapan, aspirasi dan kehendak rakyat, mereka akan menyokong parti yang memerintah, katanya.

Bagi meningkatkan sokongan rkyat kepada BN, Najib berkata ia mesti dilihat sebagai parti yang tidak banyak masalah.

PAKATAN SELANGOR

Najib juga menyentuh mengenai kerajaan pakatan pembangkang di Selangor yang kini sudah tidak mempunyai persefahaman antara satu sama lain.

Kenyataan itu merujuk kepada tindakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali yang juga Exco Kerajaan Negeri, baru-baru ini yang meminta Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkaji semula kedudukan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu daripada DAP kerana dikatakan campur tangan dalam pelaksanaan larangan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu.

Najib berkata, tindakan itu menunjukkan, pakatan pembangkang ini "tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain" di mana perjuangan politik mereka brcanggah antara satu sama lain dan mereka hanya bersatu bagi menumbangkan Barisan Nasional. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan