BN sedia hadapi pilihan raya kecil Permatang Pasir pada bulan puasa

Diterbitkan: Ahad, 9 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGAN DATOH: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berharap tidak ada pihak akan mencemarkan kesucian bulan puasa jika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir diadakan pada bulan Ramadan.

Beliau berkata jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan puasa, ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana pilihan raya kecil DUN Lunas sebelum ini berlangsung pada bulan berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang berkata Barisan Nasional (BN) telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu sekiranya SPR mengumumkan untuk mengadakannya pada bulan Ramadan.

"Kita harap sekurang-kurangnya kempen pilihan raya dalam bulan puasa berjalan dalam keadaan bersih, tidak ada tuduh menuduh dan umpat keji antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di sini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu akan diputuskan SPR Isnin ini.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS, akibat sakit jantung minggu lepas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan