Malaysia tunggu cadangan balas Indonesia isu pembantu rumah

Diterbitkan: Sabtu, 8 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengemukakan cadangan balas kepada Indonesia berhubung pengambilan pembantu rumah dan kini sedang menunggu jawapan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam.

"Kami akan menunggu jawapan mereka sebelum sebelum menetapkan mesyuarat yang akan datang," katanya kepada Bernama dalam respons kepada permintaan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) supaya keduadua negara mempercepat rundingan berhubung isu pembantu rumah.

Presiden PAPA Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata mesyuarat dua hala Malaysia-Indonesia bagi membincangkan persefahaman mengenai pembantu rumah itu sepatutnya diadakan pada 15 haribulan dan akhir Julai lepas, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Raja Zulkepley berkata sebarang kelewatan akan membawa kesan yang tidak sihat atau kurang baik bukan sahaja kepada agensi pekerjaan tempatan malahan bagi agensi pembekal di negara sumber Indonesia.

Beliau berkata kesan jangka panjang yang mungkin berlaku ialah pembantu rumah akan dibawa masuk melalui cara yang tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pada 25 Jun lepas, Kerajaan Indonesia membekukan buat sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan aduan bahawa golongan itu didera oleh majikan mereka.

Berikutan itu, pegawai kedua buah negara bermesyuarat dan mencapai persetujuan awal berhubung beberapa isu seperti memberikan cuti sehari dalam seminggu dan perlindungan insurans. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan