Tarikh pilihan raya kecil Permatang Pasir diputuskan Isnin ini - Berita Semasa | mStar

Tarikh pilihan raya kecil Permatang Pasir diputuskan Isnin ini

Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)akan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik berkata keputusan mengenainya akan diumum Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang akhbar yang akan diadakan pada pukul 11 pagi, selepas mesyuarat itu di ibu pejabat SPR di sini.

Beliau berkata mesyuarat khas itu hanya dapat diadakan pada tarikh itu kerana pegawai-pegawai kanan SPR terlibat dengan Mesyuarat Penyelarasan Bulanan yang telah dirancang lebih awal pada 5 dan 6 Ogos.

"Mesyuarat bulanan itu pula disusuli dengan Bengkel Amalan Persekitaran Berkualiti di Kuching Sarawak pada 7 dan 8 Ogos," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, dari PAS pada 31 Julai lepas di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur kerana sakit jantung.

Mohd Hamdan merupakan wakil rakyat di kawasan itu selama tiga penggal sejak 1999. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan