Penduduk Kg Buah Pala dakwa dipaksa buat keputusan segera

Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Penduduk Kampung Buah Pala mendakwa bahawa mereka dipaksa membuat keputusan segera berhubung tawaran yang dibuat kerajaan negeri.

Anggota Persatuan Penduduk kampung itu O. Selvaraj berkata mereka hanya menerima pelan lakaran semalam tetapi mereka perlu memberikan keputusan hari ini.

"Keadaan itu sama dengan kerajaan negeri meletakkan pistol di kepala dan memaksa kami membuat keputusan segera tanpa memberikan masa kepada kami untuk berbincang," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya persatuan itu akan merayu dengan kerajaan negeri untuk memberikan mereka lebih masa untuk menimbang dan berbincang dengan setiap penduduk kampung itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Kelmarin, dilaporkan penduduk ditawarkan sebuah rumah dua tingkat bagi setiap rumah yang diroboh oleh pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Terdahulu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri telah meletakkan tarikh akhir iaitu hari ini dan berharap para penduduk akan memberikan keputusan.

Lim berkata kerajaan negeri berusaha untuk membantu penduduk dan pemaju walaupun pemaju dan pemilik tanah Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang berasa kerajaan negeri memihak kepada penduduk.

"Sekarang, terpulang kepada para penduduk untuk membuat keputusan terhadap tawaran kerajaan negeri," katanya.

Isu tanah Kampung Buah Pala memuncak selepas Mahkamah Persekutuan mengeluarkan perintah supaya 23 keluarga yang tinggal di kawasan seluas 2.6 hektar itu supaya mengosongkannya pada 2 Ogos.

Bagaimanapun, para penduduk enggan berpindah dengan mendakwa bahawa tanah itu yang diberikan kerajaan negeri sebelum ini kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang tanpa persetujuan mereka.

Para penduduk juga mendakwa bahawa sesetengah pemimpin pembangkang telah berjanji untuk menyelesaikan isu itu jika mereka dapat mengambil alih pentadbiran negeri, semasa berkempen pada pilihan raya umum 2008. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan