PAS mahu Selangor kuatkuasa larangan penjualan arak secara terbuka

Diterbitkan: Khamis, 6 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS mahu Selangor menguatkuasakan garis panduan larangan penjualan arak secara terbuka sepertimana dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu kerana ia melibatkan sensitiviti orang Islam.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata mengikut garis panduan penjualan minuman keras di Kelantan dan Terengganu, ia tidak boleh dibuat secara terbuka di kawasan yang mempunyai penduduk majoriti Islam.

"Polisi ini sudah kita jalankan khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu tetapi kita tidak tahu polisi di negeri Selangor bagaimana," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khamis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam.

Rentetan itu, PAS Selangor pada Selasa lepas mendesak kerajaan negeri menarik balik portfolio kerajaan tempatan yang dipegang oleh Liu berikutan beberapa masalah yang ditimbulkan oleh wakil rakyat DAP itu.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak desakan PAS itu kerana kerajaan negeri menganggap ia bukan satu isu.

Ditanya mengenai kesanggupan Pemuda Umno menyertai demonstrasi aman anjuran Pemuda PAS esok bagi mendesak kerajaan negeri Selangor menukar portfolio Liu sekiranya mendapat permit polis, Mustafa berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

Sementara itu, beliau turut menafikan bahawa Penasihat Perundangan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah anggota PAS.

"Kita tidak tahu apa motif dia mengaku sebagai anggota PAS kerana dasar kita memang tidak menyokong ISA. Kita sudah periksa latar belakangnya dan kita nafikan dia ada kena-mengena dengan PAS," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan