Kerajaan pusat tidak diskriminasi negeri diperintah pembangkang - Mustapa

Diterbitkan: Khamis, 6 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Kerajaan Persekutuan tidak mendiskriminasikan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang semasa menyalurkan pelaburan asing ke Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed hari ini.

Katanya wakil kerajaan yang diperintah oleh parti pembangkang akan sentiasa dijemput menyertai sebarang misi perdagangan di seberang laut anjuran kementerian itu dan jika mereka pergi sendirian, misi mereka akan dimudahkan dan diselaraskan oleh agensi perdagangan kementerian itu.

Mustapa berkata demikian kepada komuniti perniagaan Singapura pada sesi seminar dan dialog bertajuk "Peluang Perniagaan di Malaysia" yang diadakan sempena misi perdagangan dan pelaburan Malaysia ke negara bandaraya itu di Pusat Konvensyen Raffles di sini.

Beliau ditanya bahawa sejak kebelakangan ini beberapa kerajaan negeri yang diperintah pembangkang telah datang ke Singapura dan melaksanakan promosi perdagangan secara sendirian dan bagaimana ia memberi kesan kepada pelaburan mereka jika melabur di negeri berkenaan.

Mustapa berkata mereka boleh melabur di manamana bahagian Malaysia tetapi mereka masih perlu datang ke kementeriannya untuk mendapatkan insentif.

Beliau berkata setiap kali kementerian itu melakukan misi perdagangan di seberang laut, ia akan mempromosikan Malaysia secara keseluruhannya dan beliau mengandaikan negeri yang diperintah pembangkang melakukan perkara yang sama, dengan mempromosikan negara ini sambil memasarkan negeri masing-masing.

Kirakira 600 peserta Singapura dan 200 dari Malaysia menghadiri dialog itu yang turut disertai Menteri Perdagangan dan Perindustrian republik itu, Lim Hng Kiang.

Sebelum itu, semasa berucap, Mustapa berkata misi perdagangan itu yang diketuainya di sini adalah susulan dari lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke republik Jun lepas.

Katanya ia bertujuan mengukuhkan hubungan mereka di dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan dan mengemaskinikan dan menyampaikan maklumat kepada komuniti perniagaan Singapura mengenai perkembangan terbaharu dan peluang perniagaan di Malaysia.

Singapura sekarang ini adalah pelabur keenam terbesar di Malaysia pada 2008, dengan pelaburan berjumlah RM2.0 bilion (S$813 juta) di dalam 112 projek, berbanding dengan 108 projek pada tahun sebelum itu.

Tambahan pula, Singapura kini adalah pelabur seberang laut terbesar di Malaysia bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, dengan pelaburan RM1.05 bilion di dalam 28 projek.

Malaysia kekal rakan dagangan utama Singapura pada tahun lepas dengan perdagangan dua hala mencecah S$111.4 bilion, satu kenaikan 1.4 peratus berbanding dengan 2007.

Mustapa turut menjelaskan mengenai falsafah 1Malaysia dan beberapa pengumuman utama barubaru ini yang dibuat oleh Najib seperti menggerakkan negara ini kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan liberalisasi sektor perkhidmatan dan garis panduan jawatankuasa Pelaburan Asing.

Beliau berharap para pengusaha Singapura akan meneroka ke dalam perniagaan baharu yang melangkaui perdagangan tradisi, sektor import eksport dan pengilangan, seperti sektor perkhidmatan yang dialami republik itu.

Mengenai persepsi bahawa berlaku banyak jenayah di Malaysia, terutama di Johor yang ditimbulkan pada dialog itu, Mustapa sambil mengakui terdapat kebimbangan di kalangan rakyat Singapura mengenai perkara itu, berkata kerajaan juga komited untuk menghapuskan jenayah di negara itu.

Beliau menjelaskan bahawa di dalam enam NKRA yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, pencegahan berada pada senarai teratas dan satu sasaran telah ditetapkan untuk mengurangkan kadar jenayah negara sebanyak 20 peratus menjelang akhir 2020.

Ketua Polis Johor Deputi Komisioner Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang turut hadir pada dialog itu berkata kakitanganya sedang mengambil langkah mengekang jenayah di negeri ini yang tidak lama lagi akan mempunyai lebih banyak balai polis dan tambahan anggota.

Katanya polis Johor telah dapat mengurangkan kadar jenayah sebanyak 13 peratus pada enam bulan pertama tahun ini dan menyelesaikan 40 peratus daripada jenayah yang dilaporkan di negeri itu, lebih tinggi daripada kadar 20 peratus yang ditetapkan oleh Interpol. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan