Krisis PAS-Ronnie: MB arah semua "tutup mulut"

Diterbitkan: Rabu, 5 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan semua pemimpin khususnya yang menduduki Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) supaya 'tutup mulut' berhubung isu rampasan arak oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan desakan PAS agar Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu digugurkan.

mStar Online difahamkan Khalid memberikan arahan itu pada mesyuarat mingguan Exco tengah hari tadi.

Sumber-sumber memberitahu mStar Online bahawa arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan beliau menemui semua pihak yang terbabit Jumaat ini dan mengelakkan isu semasa - dikatakan antara PAS-DAP - menjadi keruh dan tidak dapat dikawal.

"Menteri Besar bercadang untuk menemui semua pihak yang terbabit Jumaat ini bagi mencari jalan penyelesaian," kata sumber itu.

Khalid dijadual mengadakan sidang media susulan mesyuarat Exco kira-kira pukul 3 petang ini.

Semalam, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri menukar Exco Kerajaan Tempatan sekarang iaitu Ronnie Liu ekoran campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di negeri itu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.

"PAS Selangor menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula atau ditukar berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

"PAS rasakan bahawa pemegang yang sekarang ini ada sedikit masalah, insiden terdahulu timbul sedikit permasalahan," kata Dr. Hasan lagi.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor berkata, beliau belum memaklumkan pendirian PAS itu kepada Menteri Besar dan Ronnie Liu sendiri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengadakan mesyuarat mingguan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hasan, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri supaya serius membanteras penjualan arak di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri supaya kontroversi berkaitan isu arak tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam.

Minggu lalu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini.

Kata beliau, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham.

Perkara itu juga telah dikecam oleh Umno Selangor.

Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.

Bagi memastikan enakmen berhubung arak tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, PAS Selangor juga akan mengeluarkan satu deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Draf berkenaan bukan satu undang-undang baru, sebaliknya hanya sebagai peraturan yang boleh digunakan oleh kesemua 12 PBT yang ada di Selangor.

"Sekarang ini hanya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang boleh ambil tindakan, jadi sekarang ini kita nak bagi kuasa itu kepada penguatkuasa PBT juga," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan