6 saksi beri keterangan hari kedua inkues

Diterbitkan: Rabu, 5 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Inkues menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, ditangguhkan sehingga esok selepas mendengar keterangan enam orang saksi.

Lima daripada enam saksi itu merupakan kakitangan kawalan keselamatan di Plaza Masalam, tempat Teoh ditemui mati bulan lalu.

Prosiding bermula pukul 9 pagi tadi dan ditangguhkan 1.30 tengah hari tadi. Ia dijadual bersambung pagi esok.

Pada prosiding hari ini, peguam yang dilantik mewakili kerajaan iaitu peguam bela dan peguam cara Tan Hock Chuan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah mencadangkan untuk mengemukakan 97 saksi.

"Kita juga bercadang untuk memanggil enam orang saksi awal dan tiga orang ahli kimia.

"Selepas ahli kimia, kita juga bercadang untuk memanggil tiga orang ahli patalogi sebagai saksi...mereka adalah antara 12 saksi awal yang akan dipanggil," katanya.

Menurut Tan, tiga laporan utama telah disiapkan iaitu laporan toksilogi, kriminologi dan laporan DNA.

Beliau berkata laporan DNA kedua juga telah diperolehi dan diserahkan kepada pihak-pihak berkepentingan pada pagi tadi.

"Swab sampel DNA telah diambil daripada 157 individu membabitkan kesemua staf SPRM Selangor, anggota polis yang terlibat dalam siasatan, anggota jabatan forensik, tukang cuci dan orang perseorangan," katanya.

Saksi pertama yang memberi keterangan hari ini ialah Siti Zabedah Yahaya, 41, merupakan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan Plaza Masalam.

Beliau merupakan individu pertama yang menjumpai mayat Teoh pada 16 Julai lalu.

Zabedah memberitahu mahkamah kira-kira pukul 1.10 tengah hari beliau berehat di sebuah bilik stor di tingkat 19 banggunan berkenaan.

Dua puluh minit kemudian, ketika beliau ingin menutup tingkap yang dibukanya ketika mula-mula memasuki bilik berkenaan, beliau ternampak satu lembaga manusia terbaring di koridor tingkat lima.

"Selepas 20 minit berehat saya hendak tutup tingkap saya jenguk ke bawah. Saya nampak lembaga manusia terbaring di koridor tingkat lima.

"Saya tidak puas hati, saya nak pastikan sama ada ia (lembaga manusia terbaring) tertidur atau pengsan, saya ambil satu skru meja dan lempar ke bawah," katanya.

"Lepas tak bergerak, saya rehat sekejap, lepas lima minit saya panggil kawan saya. Kawan saya pun nampak apa yang saya nampak.

"Kemudian, saya hubungi En Ridzuan untuk beritahu, selepas saya hubungi dia saya tidak buat apa-apa lagi," katanya kepada mahkamah.

Selepas menerima panggilan dari Siti Zabedah, juruteknik unit penyelenggaraan bangunan Plaza Masalam, Mohd Ridzuan Samsuri dan seorang rakannya, Rosli Salleh bergegas ke tempat kejadian.

Beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa koridor tingkat lima bangunan berkenaan, iaitu tempat mayat Teoh ditemui hanya boleh diakses oleh pengawal keselamatan dan pegawai penyelenggaran bangunan sahaja.

Menurutnya orang awam tidak boleh mengaksesnya sambil menjelaskan bahagian berkenaan hanya boleh dimasuki melalui dua laluan.

Laluan pertama ialah melalui sebuah tingkap pejabat, manakala laluan kedua ialah melalui dua pintu jeriji besi berkunci yang hanya boleh dibuka oleh pengawal keselamatan dan pihak penyelenggara.

"Koridor tingkat lima hanya boleh pergi melalui pejabat orang, itupun dengan kebenaran... itupun kena melalui tingkap dan cara kedua ialah melalui pintu jeriji dan perlu lapor kepada pengawal," katanya.

Terdapat lima kunci pendua pintu dan jeriji yang disimpan pihak sekuriti dan penyelenggaraan, kata Mohd Ridzuan dan menambah, pihak sekuriti dan penyelenggaraan bangunan itu yang keluar dan masuk ke kawasan itu perlu mencatat dalam buku log yang disediakan.

"Saya tak pasti pihak sekuriti ada buat catatan pada 15 atau 16 Julai, yang saya ingat ada catatan buka dan tutup sistem penghawa dingin pada pukul 10 pagi dan 10 malam untuk bangunan membeli-belah (di Plaza Masalam).

Sebaik sampai di tempat kejadian, Mohd Ridzuan memberitahu mahkamah bahawa beliau ternampak seseorang terbaring dalam keadaan mencurigakan.

"Dari jauh saya nampak orang terbaring dalam keadaan mencurigakan. Setelah saya datang dekat, saya lihat seorang lelaki berkulit putih macam Cina terbaring berlumuran darah yang sudah kering... bahagian lututnya juga ada kesan darah kering." katanya.

Bagaimanapun Mohd Ridzuan berkata beliau tidak menghubung pihak polis berhubung kejadian tersebut sebaliknya hanya memaklumkan kepada pegawai atasannya melalui walkietalkie.

"Saya panik, ini kali pertama melihat kejadian seperti ini, saya hanya hubungi pegawai atasan, bukan saya yang hubungi polis," katanya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind bertanya mengenai bidang tugas beliau sebagai juruteknik di bangunan berkenaan.

Jelas Mohd Ridzuan, antara tugasnya ialah menyelenggara talian telefon, sistem paip, elektrik serta bertanggungjawab untuk menjaga sistem penghawa dingin keseluruhan bangunan.

Menyentuh mengenai penghawa dingin, Gobind meminta penjelasan lanjut daripada Mohd Ridzuan.

Kemudian Mohd Ridzuan berkata: "Untuk bangunan pejabat, (termasuk pejabat SPRM di tingkat 14), penghawa dingin menggunakan "central system" (sistem berpusat) yang akan tertutup sendiri lepas pukul 6 petang," katanya.

Gobind telah bangun bertanya: "Adakah anda bersetuju bahawa pada pukul 6 petang, pejabat SPRM tidak mempunyai sistem penghawa dingin?"

Mohd Ridzuan berkata: "Ya, saya setuju."

Kemudian Gobind bertanya lagi sama ada SPRM mempunyai penghawa dinginnya yang sendiri, dan Mohd Ridzuan menjawab: "Ada tetapi sedikit sahaja."

Sementara itu saksi ketiga, Mohd Khairul Izwan M.Nasir yang merupakan penolong kanan sekuriti bangunan itu mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan oleh Mohd Ridzuan.

"Sampai di tempat kejadian, saya dapati Encik Ridzuan dan Encik Rosli masih berada di situ. Saya lihat seorang lelaki berkulit putih tertiarap dengan mengiring sebelah kanan, kepalanya berdarah tetapi sudah kering.

"Pegawai saya arahkan untuk tutup badan mayat dengan plastik hitam dan tindih dengan batu bata untuk mengelakkan plastik itu ditiup angin," kata Mohd Khairul ketika disoal peguam Tan Hock Chuan.

Mohd Khairul berkata pihak polis kemudian tiba ke tempat kejadian kira-kira lapan hingga 10 minit selepas beliau menghubungi mereka pada pukul 1.55 petang.

Diminta penjelasan daripada Gobind sama ada beliau meneliti mayat mangsa, Mohd Khairul memberitahu: "Saya tidak lihat dengan teliti. Saya kelam kabut dan panik kerana tidak pernah melihat kejadian seperti ini berlaku sebelum ini."

Turut dipanggil memberi keterangan sebagai saksi keempat ialah anggota polis berpangkat koperal, Abd Karem Ohtman, yang menerima panggilan dan maklumat daripada Mohd Khairul berhubung kejadianitu.

"Pada jam 1.57 petang semasa saya bertugas di bilik gerakan ibu pejabat polis daerah Shah Alam, saya terima panggilan daripada seorang lelaki Melayu yang mengaku dirinya pegawai keselamatan di Plaza Masalam.

"Dia memberitahu terjumpa mayat seorang lelaki Cina terbaring di tingkat 15 Plaza Masalam disyaki membunuh diri.

"Saya kemudian memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat dan diarahkan untuk menghubungi pakar forensik di ibu pejabat kontinjen Selangor," kata Abd Karem.

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan