Mangsa ke-8 A(H1N1) meninggal dunia

Diterbitkan: Selasa, 4 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEBUAH pacuan empat roda Jabatan Kesihatan Johor Baharu memasuki Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Kenanga, Tampoi, Johor semalam bagi melakukan pemeriksaan setelah seorang pelajar lelaki sekolah itu meninggal dunia semalam akibat penyakit Influenza A (H1N1) atau selsema babi. Semalam, Mohamad Fakri Syah Rosli, 11, murid darjah enam sekolah itu meninggal dunia kira-kira 8 pagi, selepas tiga hari mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah di sini. -fotoBERNAMA
SEBUAH pacuan empat roda Jabatan Kesihatan Johor Baharu memasuki Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Kenanga, Tampoi, Johor semalam bagi melakukan pemeriksaan setelah seorang pelajar lelaki sekolah itu meninggal dunia semalam akibat penyakit Influenza A (H1N1) atau selsema babi. Semalam, Mohamad Fakri Syah Rosli, 11, murid darjah enam sekolah itu meninggal dunia kira-kira 8 pagi, selepas tiga hari mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah di sini. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Seorang lagi mangsa jangkitan influenza A(H1N1) meninggal dunia hari ini - melibatkan seorang guru dari sebuah sekolah di Selangor yang ditutup 27 Julai lalu.

Ia menjadikan jumlah yang meninggal dunia kerana wabak ini meningkat kepada lapan orang.

Awal pagi semalam seorang ibu muda yang melahirkan anak dua minggu lalu meninggal dunia di Miri, Sarawak.

IBU KORBAN KE-7

Dalam pada itu, seorang ibu yang baru bersalin dua minggu lepas di Sarawak menjadi korban ketujuh influenza A (H1N1).

Mangsa terbaru berusia 23 tahun itu yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Miri pukul 4 pagi semalam selepas mengidap pneumonia yang teruk, merupakan kes kematian pertama di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican yang dipetik Bernama berkata, pesakit itu telah bersalin di hospital yang sama pada 21 Julai lepas.

"Selepas bersalin, beliau didapati mengidap pneumonia yang teruk dan disahkan menghidap jangkitan influenza A (H1N1) pada 23 Julai lepas.

"Simptom utama beliau adalah demam dan batuk yang telah bermula empat hari sebelum bersalin. Bayi pesakit didapati selamat dan disahkan bebas daripada jangkitan influenza A (HINI)," kata beliau.

Sejumlah 17 kes baru turut dilaporkan semalam, kesemuanya kes tempatan dan melibatkan warga Malaysia, menjadikan kes terkumpul sehingga 8 pagi semalam sebanyak 1,446 kes dengan 97 peratus telah sembuh.

Hanya 29 kes yang menerima rawatan antiviral di hospital manakala sembilan lagi menerima rawatan di rumah.

Dr. Mohd Ismail berkata, Kementerian Kesihatan masih menerima banyak pertanyaan mengenai langkah-langkah pencegahan.

Beliau menasihati ibu bapa jangan membawa anak-anak kecil ke tempat-tempat yang sesak.

Orang ramai juga diminta menjaga kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan, menutup mulut ketika bersin atau batuk dan mengelak tempat yang sesak.

"Kementerian Kesihtan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A (H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua," kata Dr. Mohd. Ismail.

Beliau berkata, situasi semasa global ialah sejumlah 183,854 kes dengan 1,307 kematian dilaporkan, dari 167 negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan berkata, setakat ini terdapat 110 kes jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak selain 25 kes import.

Katanya, setakat ini lima buah sekolah di Sarawak masih ditutup selain empat institusi pengajian tinggi awam.

ISU JOHOR BAHARU

Di JOHOR BAHRU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan Johor Dr Robia Kosai berkata, Sekolah Kebangsaan Taman Kenanga, Tampoi, tidak ditutup walaupun seorang muridnya meninggal dunia akibat Influenza A (H1N1), kelmarin.

Robia berkata, Jabatan Kesihatan menjalankan pemeriksaan di sekolah berkenaan pagi tadi dan membuat saringan ke atas murid serta guru bagi mencegah penularan.

"Jabatan Kesihatan hanya memberi nasihat, namun pihak sekolah akan membuat keputusan yang sewajarnya sama ada untuk tutup atau tidak.

"Keputusan yang dibuat turut melihat kepada persekitaran sekolah dan situasi penularan virus tersebut," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Mohamad Fakri Syah Rosli, 11, murid darjah enam sekolah berkenaan meninggal dunia kirakira pukul 8 pagi, selepas tiga hari mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah.

Terdahulu, tinjauan pemberita ke sekolah berkenaan pagi tadi mendapati sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa dengan ada sebahagian murid memakai topeng penutup hidung dan mulut.

Wartawan dan dan jurugambar bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki perkarangan sekolah.

Pengarah Pelajaran Johor Sufaat Tumin turut dilihat melawat sekolah berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum menyampaikan nasihat dan panduan mencegah penyakit berkenaan kepada murid pada sesi perhimpunan.

ISU KUANTAN

Di KUANTAN, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur ditutup mulai semalam sehingga 9 Ogos berikutan seorang guru wanita di sekolah itu disahkan positif influenza A (H1N1).

Pengarah Pelajaran Pahang Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata, sampel darah guru berkenaan yang diuji di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada Rabu lepas disahkan positif.

"Semua pelajar dan kakitangan sekolah itu telah dimaklumkan mengenai tatacara penjagaan diri semasa berada di rumah bagi mengelak jangkitan," katanya ketika dihubungi.

SMK Tanjung Lumpur merupakan sekolah kedua di daerah Kuantan yang ditutup sementara selepas Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), bagi membendung penyebaran H1N1.

Pada 30 Julai lepas, empat sekolah di Pahang ditutup selepas lima pelajar di SMK Clifford Kuala Lipis disahkan positif H1N1 manakala masing-masing seorang pelajar di SMART Kuantan; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub; dan SMK Seri Jengka, Maran.

"Kita meminta para ibu bapa memantau keadaan kesihatan anak-anak yang sedang bercuti dan segera membawa ke hospital sekiranya terdapat simptom jangkitan seperti batuk, sakit badan, sakit kepala, selesema dan demam," kata Abdul Aziz.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan