A(H1N1): Murid diarah periksa suhu badan sebelum masuk kelas

Diterbitkan: Selasa, 4 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Kementerian Pelajaran mengarahkan semua pelajar di semua sekolah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum bermula waktu sekolah bagi mencegah penularan wabak Infuenza A(H1N1).

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pemeriksaan itu akan mula dijalankan apabila semua sekolah dibekalkan dengan termometer dan topeng muka dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM3.6 juta untuk tujuan membeli termometer dan topeng muka.

"Setiap murid dan pelajar akan dimestikan menjalani pemeriksaan sebelum memasuki kelas dan kita akan pastikan suhu badan mereka tidak melebihi 37.5 darjah celcius," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kenanga, Tampoi, di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan itu juga bertujuan meyakinkan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka bersekolah seperti biasa.

Dua hari lepas, Mohamad Fakri Syah Rosli, murid darjah enam sekolah berkenaan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu, yang menjadikan korban pertama di negeri ini.

Wee berkata, bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa, Jabatan Pelajaran Negeri juga diarah memantau semua sekolah dengan pihak pengurusan sekolah diminta menghubungi ibu bapa sekiranya terdapat murid yang tidak datang ke sekolah.

"Jika ada anak yang gagal hadir kerana demam maka data berkenaan akan diserahkan ke Jabatan Kesihatan negeri untuk tujuan susulan," katanya.

Beliau berkata, pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan untuk memberi penerangan kepada ibu bapa sekiranya ada di kalangan mereka yang masih berasa tidak yakin untuk membenarkan anakanak ke sekolah.

Menurutnya, dianggarkan lebih 100 sekolah terpaksa ditutup selama seminggu sejak wabak itu dilaporkan merebak, kira-kira dua minggu lepas.

Beliau turut menegaskan, tindakan menutup sekolah tidak akan dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana ada ibu bapa yang tidak yakin mengenai kesihatan anak mereka.

Katanya, penutupan sesebuah sekolah perlu mematuhi prosedur Akta Penyakit Berjangkit 1988, iaitu dengan mendapat pengesahan daripada doktor.

LAIN-LAIN PERKEMBANGAN:

H1N1: DUA KEM PLKN, SEBUAH KOLEJ SWASTA DITUTUP

KUALA LUMPUR: Dua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebuah kolej swasta diditutup berikutan penularan wabak influenza A (H1N1).

Kem PLKN yang ditutup adalah Kem White Resort, Pulau Pinang, dan Kem Tasik Chini, Pahang, dengan menjadikan jumlah kem PLKN yang ditutup sehingga kini 23 buah manakala Kolej Shahputra di Pahang ditutup selama seminggu bermula esok.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata semua pelatih telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pengerusi Eksekutif Kolej Shahputra, Datuk Dr Azman Zaini Abdul Ghanie pula berkata, keputusan untuk menutup kolej tersebut adalah atas nasihat Jabatan Kesihatan Pahang.

Di Sarawak, empat lagi kes positif Influenza A (H1N1) dilaporkan di Kuching dan kesemuanya merupakan kes jangkitan tempatan dan menjadikan jumlah kes di negeri itu setakat ini 139 kes, dengan kes import kekal 25.

Menurut kenyataan Bilik Gerakan Negeri, empat kes itu melibatkan seorang pelajar berusia 13 tahun dari Sekolah Menengah Kerajaan Bekenu di Miri dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari Samarahan, selain dua kes melibatkan kanakkanak lelaki dan perempuan berusia lapan tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Stapok dan SK Gita No 2 dekat Kuching.

Di Kedah, 182 pelajar dan tiga orang guru dari lima buah sekolah di negeri itu yang mempunyai simpton H1N1 telah diberi cuti selama enam hari bermula semalam bagi tujuan kuarantin, kata Timbalan Pengarah Pelajaran Kedah, Abdullah Saad kepada Bernama.

Katanya, mereka yang terbabit terdiri daripada 51 orang pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, 45 murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Jitra, 34 murid dan tiga orang guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Serdang dan dua murid Sekolah kebangsaan Bandar Baru Sintok.

Seramai 50 orang pelajar Sekolah Sains Sultan Muhammad Jiwa di Sungai Petani telah dikuarantin dalam asrama setelah beberapa pelajar sekolah itu telah mengalami demam dan batuk.

6 INSTITUSI PENDIDIKAN DI PULAU PINANG DIARAH TUTUP

PULAU PINANG: Enam lagi institusi pendidikan di negeri ini telah diarah ditutup selama seminggu, mulai hari ini, berikutan penularan selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Masyarakat Penyayang, Kebajikan dan Kesihatan Negeri Phee Boon Poh berkata tiga institusi itu terletak di Seberang Perai Utara, dua di daerah Barat Daya dan sebuah di Seberang Perai Selatan.

Setakat ini, sejumlah 30 institusi di negeri ini telah ditutup berikutan jangkitan wabak itu.

Antara enam institusi yang ditutup ialah Sekolah Menengah Teknik Balik Pulau, Sekolah Menengah Penaga, Sekolah Menengah Pokok Sena dan kem Program Latihan Khidmat Negara White Resort Balik Pulau manakala dua lagi institusi masih belum disahkan, katanya kepada Bernama.

Katanya pihak berkuasa kesihatan negeri perlu menutup institusi itu bagi mengelakkan jangkitan berterusan selepas kes kluster ditemui.

Setakat pukul 8 pagi hari ini, bilangan kes yang terkumpul yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan di seluruh negara adalah 574 kes import, 886 jangkitan tempatan dengan 96.5 peratus kes kembali pulih dan lapan kematian.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan