Shaziman: Rebat 20% tol rangkumi semua lebuh raya

Diterbitkan: Isnin, 3 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Rebat 20 peratus bagi pengguna yang membayar tol lebuh raya melebihi daripada 80 kali dalam sebulan adalah merangkumi semua lebuh raya di Malaysia dan bukannya tertumpu pada sesetengah lebuh raya sahaja, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Shaziman berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana masih terdapat pengguna yang keliru dengan menganggap hanya dengan melalui toltol tertentu sahaja mereka layak untuk mengumpul dan memperolehi rebat tersebut.

"Masih terdapat pengguna yang tidak jelas dari segi pemberian rebat ini. Mereka ingat dengan hanya gunakan lebuh raya tertentu sahaja boleh dapat rebat...sebenarnya bukan begitu.

"Sebenarnya semua pengguna boleh dapat rebat tersebut asalkan mereka gunakan kad Touch 'n Go atau SmartTag di mana sahaja lebuh raya yang mereka lalui. Kalau dicampurcampur pun tidak mengapa...janji mereka kena gunakan lebih daripada 80 kali dalam masa satu bulan dan ini melayakkan mereka untuk memperoleh rebat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan sambungan jalan Persimpangan Kinrara Utara dari Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) ke Jalan Klang Lama di sini, hari ini.

Pemberian rebat tersebut merupakan sebahagian daripada 11 hadiah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika majlis sambutan 100 hari beliau memegang tampuk pentadbiran kerajaan 11 Julai lalu.

Pemberian rebat tol itu akan berkuatkuasa mulai 1 September ini dan pengguna lebuh raya yang layak boleh menebusnya mulai 1 Oktober di 126 lokasi di seluruh negara yang akan diumumkan kelak.

Shaziman sebelum ini turut mengumumkan yang rebat tersebut boleh disimpan sehingga tempoh enam bulan dan pengguna juga dibenarkan membuat tuntutan bagi tempoh tiga bulan atau sebagainya kerana rebat berkenaan mempunyai nilai sehingga tempoh enam bulan.

Beliau berharap kenyataan itu akan menghapuskan kekeliruan dan keraguan pengguna mengenai bayaran rebat itu dan matlamat kerajaan untuk membantu rakyat dapat dinikmati bersama.

Dalam perkembangan lain, Shaziman yang ditanya mengenai keretakan pada struktur jambatan di Persimpangan Puchong JayaLebuh Raya Damansara Puchong (LDP) berkata, laluan tersebut selamat untuk digunakan kerana keretakan itu hanya melibatkan permukaan binaan dan tidak melibatkan struktur asas binaan.

Beliau berkata, penilaian yang dilakukan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) terhadap laporan yang disediakan oleh perunding yang dilantik oleh Lingkaran Transkota Sdn Bhd (Litrak) mendapati keretakan tersebut hanya membabitkan permukaan binaan serta tidak menjejaskan kekukuhan integriti struktur jejambat.

Katanya, juru runding hanya menyediakan laporan sahaja tetapi kementerian mempunyai pasukan penilai dari LLM yang akan memastikan laporan yang dibuat itu tepat dan betul.

Bagaimanapun, bagi memastikan struktur itu benarbenar kukuh dan selamat, Shaziman berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya mengambil laporan daripada LLM untuk dilakukan perincian kali kedua.

"Oleh kerana kes ini melibatkan keselamatan awam serta orang ramai dan walaupun sudah ada pemeriksa tetapi untuk memastikan ia benarbenar selamat saya telah minta JKR ambil semua laporan siasatan dari LLM untuk dilakukan kajian kedua, hanya untuk memastikannya benarbenar selamat," katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada pengguna yang mengatakan terdapat keretakan kritikal sepanjang 8.65mm pada struktur jejambat tersebut, tetapi LLM dalam kenyataan medianya pada 24 Julai lepas menafikan mengenai perkara itu dan berkata, sebenarnya itu adalah tanda yang dibuat untuk kerja-kerja pembaikan, serta untuk pemantauan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan