RANGKUMAN SEKITAR PERHIMPUNAN ISA SEMALAM

Diterbitkan: Ahad, 2 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PASUKAN Polis Simpanan Persekutuan (FRU) menembak asap ke arah orang ramai yang menyertai perarakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di Jalan Raja Laut semalam. -- fotoBERNAMA
PASUKAN Polis Simpanan Persekutuan (FRU) menembak asap ke arah orang ramai yang menyertai perarakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di Jalan Raja Laut semalam. -- fotoBERNAMA

SEKITAR PERHIMPUNAN PRO DAN ANTI-ISA DI IBU NEGARA SEMALAM DAN KENYATAAN PELBAGAI PIHAK YANG BERKAITAN

KUALA LUMPUR: Seramai 589 orang termasuk 44 remaja di bawah umur 18 tahun yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan dan perarakan GMI ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara sehingga pukul 11 malam tadi.

KUALA LUMPUR: Seramai 11 pemimpin Pakatan Rakyat dan GMI dicari polis. Mereka termasuklah Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi bahawa kerajaan sedang mendapatkan maklum balas mengenai ISA dan demonstrasi menyokong atau menentang ISA tidak perlu diadakan kerana ia hanya menyusahkan semua pihak. Beliau berkata demonstrasi itu disifatkannya sebagai bermotifkan politik sahaja.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah memutuskan untuk gugurkan idea mengadakan perhimpunan memansuhkan ISA jika permintaan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri telah dipenuhi. Ketua Umum Pakatan Rakyat itu memberitahu wartawan di Ibu Pejabat PAS bahawa pihaknya telah menulis surat kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak minggu lalu meminta diadakan satu pertemuan.

KUALA LUMPUR: Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan misi perhimpunan menggerakkan 100,000 orang di ibu negara untuk menggesa agar dimansuhkan ISA berjaya walaupun gagal menyerahkan memorandum kepada Istana Negara. Memorandum Deklarasi Rakyat akan diserahkan kemudian hari.

KUALA LUMPUR: Kumpulan pro-ISA yang gagal himpunkan 70,000 orang yang disasarkan, menyerahkan memorandum kepada Istana Negara. Ia diserahkan oleh Mohd Khairul Azamdin, penasihat undang-undang Majlis Gabungan NGO Pembela Negara, di pintu belakang Istana kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

KUALA LUMPUR: Dua badan bukan kerajaan iaitu Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), yang membantah undang-undang itu, dan Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), yang mahu ISA dikekalkan, mengadakan perhimpunan tidak sah di Kuala Lumpur semalam.

PAPAR: Kerajaan akan terus mempertahankan ISA dan tidak akan bersetuju dengan penghapusan akta tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka yang menyertai perarakan GMI di beberapa lokasi di ibu negara. Antara lokasi terlibat ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman, pusat beli belah Sogo, Jalan Masjid India, Jalan Kinabalu dan kawasan berhampiran Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah mustahil untuk ISA dimansuhkan tetapi ia boleh dipinda atau ditukar namanya supaya lebih bersesuaian dengan keadaan semasa. Katanya, negara memerlukan undang-undang seperti ISA yang boleh menahan seseorang itu untuk disoal siasat sebelum sesuatu perkara atau kes itu dibawa ke mahkamah, selain turut memerlukan undang-undang lain.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan