Permatang Pasir: PKR pula mahu tanding?

Diterbitkan: Ahad, 2 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA Dulu penyokong-penyokong PAS membuat desakan mahu calon parti itu diletakkan bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti. Kini tiba giliran Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula meletakkan tuntutan ke atas DUN Permatang Pasir?

PKR meletakkan calonnya, Mansor Othman di DUN Penanti pada Jun lalu - mewarisi tradisi komposisi kerusi pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

PAS Pulau Pinang menuntut kerusi itu dua bulan lalu atas alasan penyandang kerusi dari PKR "gagal menjalankan tugas dengan baik" dan "tidak kena dengan cara melepaskan jawatannya".

Penanti dan Permatang Pasir merupakan antara tiga kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh. Satu lagi DUN - Seberang Jaya disandang oleh Umno-Barisan Nasional.

Hari ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat permintaan daripada pemimpin dan akar umbi parti itu supaya ia meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, cadangan tersebut dibuat berikutan gerakan PKR di kawasan Permatang Pasir adalah kuat dan mantap.

Katanya, mereka telah mengemukakan cadangan itu kepada beliau untuk dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang dan berharap ia diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Ketika bercakap kepada pemberita semasa menghadiri majlis perkahwinan seorang penduduk Permatang Pauh di Bukit Mertajam hari ini, Anwar bagaimanapun menasihatkan mereka agar menerima siapa sahaja yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi gabungan pembangkang kelak.

"Secara peribadi, saya nasihatkan mereka supaya memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu berdasarkan prestasi Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman yang cukup baik dan kerjasama yang diberikan PAS kepada pakatan selama ini di Permatang Pasir," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pandangan dan hasrat akar umbi itu akan dibincangkan dengan presiden parti dan kepimpinan pakatan pembangkang sebagai menghormati permintaan mereka itu.

"Kita perlu memberi ruang kepada mereka menyuarakan pandangan walaupun secara peribadi berpendapat mereka harus mengambil kira kerangka pakatan pembangkang yang lebih besar," katanya.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, walaupun kecenderongan sokongan rakyat kepada gabungan pembangkang terutamanya di Semenanjung meningkat, namun faktor calon memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pada pilihan raya kecil itu.

Katanya, calon yang bakal diketengahkan perlu mempunyai kewibawaan dan boleh berkhidmat kepada masyarakat.

Ketika ditanya sama ada keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap pembangkang di sini, beliau yakin rakyat akan terus menyokong mereka kerana keadaan dan latar belakang penduduk Manek Urai amat jauh berbeza dengan Permatang Pasir.

Apapun, katanya, kemenangan PAS di Manek Urai perlu dihormati kerana parti itu tidak pernah memenangi pilihan raya kecil di Kelantan sebelum ini.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan berikutan kematian Allahyarham Hamdan, 63, Jumaat lepas akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian selewatlewatnya pada 10 Ogos.

KG. BUAH PALA

Mengenai isu Kampung Buah Pala, Anwar berkata, beliau yakin dengan kemampuan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk menyelesaikan isu berkenaan dan berpuas hati dengan kaedah penyelesaian yang dikemukakan kerajaan negeri Pulau Pinang setakat ini.

Oleh itu, katanya, Lim dan kerajaan negeri harus diberi peluang untuk menyelesaikan isu itu dan tiada keperluan baginya untuk turun padang dan bertemu dengan penduduk ketika ini.

"Datuk Seri Najib tak pi jumpa, anda tak sibuk, Muhyiddin tak pi jumpa, anda tak sibuk. Apa pasal saya nak jumpa (mereka)? Saya yakin dengan cara Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat. Tak semestinya saya jumpa semua. Permatang Pauh memang kawasan saya dan saya datang.

"Kalau dirasakan perlu, saya boleh jumpa tetapi kalau jumpa untuk motif politik, ini bukan kaedahnya melainkan tidak ada penyelesaian," katanya ketika ditanya mengapa beliau tidak menemui penduduk Kampung Buah Pala sedangkan semasa kempen pilihan raya umum 2008, beliau ada menemui penduduk di situ dan berjanji untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan