ISA: AMK kecam tindakan polis

Diterbitkan: Ahad, 2 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis menyerang dan menangkap mereka yang menyertai perhimpunan anti-ISA di ibu negara semalam.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, pihaknya mengutuk tindakan "ganas polis yang sama sekali tidak perlu."

"Ia adalah di luar batasan amalan demokrasi dan hak asasi rakyat Malaysia untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Malah pihak polis tidak menghormati baginda kerana temu janji untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil baginda telah ditetapkan pada hari ini (semalam)," katanya.

Seramai 589 orang termasuk 44 remaja di bawah umur 18 tahun yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan dan perarakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara sehingga pukul 11 malam tadi.

Difahamkan mereka termasuklah tujuh penyokong kumpulan pro-ISA yang mahu ISA dipertahankan.

Mereka yang ditahan adalah antara sebahagian penyokong GMI yang berhimpun dan berarak secara haram seawal 7 pagi bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memansuhkan ISA.

Bagaimanapun usaha GMI itu untuk menghantar memorandum itu menemui kegagalan ekoran ketegasan pasukan keselamatan mengekang rancangan mereka.

Kumpulan pro-ISA menghantar memorandum lewat semalam kepada Istana Negara.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan menutup beberapa laluan utama di ibu negara sejak kelmarin bagi mengawal perhimpunan itu yang disifatkan sebagai tidak sah.

Kedua-dua kumpulan pro dan anti-ISA tidak memperoleh permit polis.

Sehubungan itu Shamsul berkata, AMK mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak membuktikan pentadbiran beliau bukan hanya berasaskan slogan semata-mata dengan membuka ruang demokrasi dan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Sebagai langkah pertama, hampir 500 orang rakyat yang ditahan hari ini (semalam) ketika melaksanakan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan, mesti segera dibebaskan," katanya.

Sebahagian besar daripada mereka telah dibebaskan setakat pagi tadi.

Shamsul berkata, Najib perlu bersedia membuktikan beliau berhasrat untuk benar-benar menjadi Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia dengan segera mengambil langkah-langkah perlu demi menentukan kehendak sebenar rakyat mengenai ISA dengan mengadakan pungutan suara bebas.

Tatacara pengendalian pihak polis terhadap rakyat yang berhimpun mesti dikaji semula bagi memastikan mereka mengawal keselamatan dan bukan bertindak liar, katanya lagi.

"Sudah sampai masanya tindakan pemerintah memperalatkan polis untuk kepentingan sempit mereka dihentikan dan polis seharusnya menjaga keselamatan rakyat dan bukan mengganasi mereka," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan