Umno tidak terdesak untuk adakan perbincangan dengan PAS - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, Umno tidak terdesak untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan PAS dalam soal menubuhkan kerajaan perpaduan.

"Umno tidak merasa tertekan sehingga terpaksa melakukan usaha untuk mencari titik pertemuan seperti pembentukan kerajaan campuran dan sebagainya.

"Yang kita pentingkan ialah pendekatan ke arah menyelesaikan masalah di kalangan umat Islam," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai bentuk kerjasama yang dimahukan oleh PAS.

Baru-baru ini, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, hubungan kerjasama yang dimaksudkan oleh beliau adalah hubungan kerajaan pusat dengan kerajaan negeri bukan dengan Umno.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Najib yang juga Presiden Umno berkata, apa bentuk kerjasama itu bukan soal pokok kerana selagi ia membawa kepada penyatuan ummah dan perpaduan rakyat Malaysia perkara tersebut akan diusahakan.

"Sama ada ia melibatkan perubahan struktur dan sebagainya ini soal kedua. Apa-apa yang boleh membawa kepada kepentingan umat Islam dan perpaduan rakyat Malaysia adalah perkara baik yang akan terus diusahakan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di Menara Dato' Onn di sini semalam.

Jelas beliau, pada umumnya sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya, umat Islam berpendirian bahawa Umno dan PAS wajar mengadakan perbincangan.

"Pendirian Umno daripada awal lagi tetap sama bahawa Umno mahu kepada usaha yang boleh mendatangkan kebaikan.

"Oleh itu apa-apa perbincangan ke arah penyatuan umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya adalah diterima baik oleh Umno.

"Apa yang berlaku selepas ini terpulang kepada keadaan. Dari segi prinsip kita konsisten dan tetap dengan pendirian sedemikian," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan