Muhyiddin cadang Umno punyai KPI sendiri

Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Umno turut mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tersendiri bagi memastikan segala sasaran dan program yang dilaksanakan mampu meningkatkan keyakinan rakyat kepada parti itu.

Beliau berkata setiap barisan kepimpinan Umno perlu mengetahui sasaran yang perlu mereka capai dalam pelaksanaan sesuatu program.

"KPI perlu untuk memastikan kepimpinan Umno tahu tentang tanggungjawab mereka terhadap programprogram supaya ia mampu membawa perubahan kepada rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. Ia mampu meningkatkan keyakinan rakyat kepada parti," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan secara serentak persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, di sini hari ini.

Beliau, yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh, berkata KPI itu akan membantu setiap peringkat kepimpinan parti memenuhi sasaran meliputi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi serta pendidikan.

"Tidak ada salahnya jika kita (Umno) mempunyai KPI sendiri. Ia (langkah mewujudkan KPI) itu selaras dengan KPI yang dilaksanakan oleh kerajaan dan setiap kementerian," kata Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin meminta setiap barisan kepimpinan merangka program dan sasaran dengan teliti serta memastikan ia mencapai KPI yang ditetapkan supaya memberikan "dividen politik" kepada parti.

Katanya program dan sasaran yang dilaksanakan oleh kepimpinan Umno setiap peringkat jika dicapai seperti yang ditetapkan oleh KPI boleh mengubah persepsi rakyat terhadap parti.

Beliau memberi contoh programprogram ekonomi termasuk usaha membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan pengurangan kesan kegawatan ekonomi, yang boleh dilaksanakan oleh kepimpinan Umno sama ada di bahagian atau cawangan.

Program-program pendidikan termasuk usaha meningkatkan prestasi peperiksaan pelajar di peringkat Umno bahagian juga boleh dilaksanakan, serta usaha peningkatan akses pendidikan luar bandar, katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan