Kerajaan tidak akan hapuskan ISA - Nazri

Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAPAR: Kerajaan akan terus mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tidak akan bersetuju dengan penghapusan akta tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini.

"Saya seringkali menjawab bagi pihak kerajaan bahawa kita tidak akan menghapus melainkan untuk kaji semula bahagianbahagian tertentu yang mempunyai ruang untuk penyalahgunaan kuasa.

"Jadi saya ingin menyatakan di sini bahawa menghapuskan ISA itu bukan agenda Barisan Nasional," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran blog dan web Pemuda Umno Papar di sini.

Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno memberi contoh, antara perkara yang boleh dipertimbangkan adalah pengurangan tempoh ditahan dari 60 hari kepada 30 hari. Hari ini badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) yang membantah undangundang itu mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, kira-kira 200 orang yang terlibat dengan perhimpunan haram itu ditahan sehingga pukul 4 petang ini.

Diminta mengulas mengenai perhimpunan itu dan gesaan pembangkang untuk menghapuskan ISA, Nazri berkata pihak pembangkang hanya memutarbelitkan fakta dan mahu menghasut rakyat supaya tidak beri sokongan kepada kerajaan.

"Apatah lagi dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang jelas telus setelah melakukan beberapa tindakan, yang menyebabkan rakyat memberi sokongan kepada kita. "Pembangkang ini hanya hidup dalam susasana yang kucarkacir jadi keadaan yang baik mereka tidak menyukainya...bila stabil rakyat bagi sokongan kepada BN. Tapi kalau ada satu isu yang boleh membangkit dan mengelirukan rakyat menyebabkan rakyat boleh dihasut yang itu mereka suka," kata Nazri.

"Saya nak beritahu kepada mereka, mereka mimpi di siang hari sahaja perkara ini, dan tidak akan berlaku penghapusan ISA ini," tambah beliau. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan