Perarakan bantah ISA boleh cetus ketegangan - Timbalan KPN

Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis bimbang ketegangan akan berlaku di sini Sabtu ini semasa perhimpunan dan perarakan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terdapat unsur provokasi melibatkan kumpulan-kumpulan yang menyokong dan menentang undang-undang itu.

Oleh itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, mahu penganjur membatalkan hasrat mereka dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.

"Walaupun pihak-pihak penganjur menyatakan perhimpunan dan perarakan ini akan diadakan secara aman tetapi kesannya boleh menggugat ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Katanya terdapat agenda berbeza antara Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), yang membantah undang-undang itu, dan Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) bersama PERKASA, yang mahu ISA dikekalkan.

GMI telah menyeru orang ramai menghadiri perhimpunan dikenali sebagai Perhimpunan 100,000 rakyat di beberapa lokasi antaranya Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mendesak supaya ISA dihapuskan.

Pada masa yang sama, Perwaris dan Perkasa pula merancang mengadakan perhimpunan di Padang Merbok, Pasar Seni dan Masjid Negara bagi menyokong agar ISA dikekalkan.

Ismail berkata polis tidak menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua kumpulan terbabit untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan itu.

"Mana-mana pihak yang mengadakannya adalah bercanggah dengan undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata perhimpunan dan perarakan itu akan melibatkan ramai peserta dan boleh membawa kesan negatif kepada orang ramai termasuk pelancong, para peniaga dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan