Hargai pahlawan, titah Yang di-Pertuan Agong

Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah meminta rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan kepercayaan, dalam semangat 1Malaysia, untuk bersatu dan bersama-sama memberi penghargaan yang sewajarnya kepada pahlawan yang masih hidup atau kepada balu serta waris yang ditinggalkan mereka.

Baginda bertitah negara dan rakyat amat terhutang budi kerana para pahlawan ini yang sanggup melakukan pengorbanan jiwa dan raga demi kedaulatan negara tercinta.

"Ramai di kalangan mereka ini yang tidak kembali ke pangkuan keluarga, isteri dan anakanak menjadi bungabunga bangsa yang terkorban di medan juang dalam menyahut panggilan pertiwi," titah baginda pada perutusan khas sempena Hari Pahlawan di RTM 1 di sini semalam.

Seri Paduka bertitah, baginda sangat bersyukur kerana kerajaan tidak pernah melupakan pengorbanan dan kesetiaan mereka, malah mengiktiraf jasa serta pengorbanan tersebut dengan pelbagai penghargaan.

"Pada waktu yang sama, kerajaan juga sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada ahli keluarga mereka termasuklah anakanak dan isteri. Dalam erti kata lain kebajikan para pahlawan negara dan keluarga mereka sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan," titah baginda.

Seri Paduka bertitah, setiap anggota keselamatan perlu meneruskan perjuangan untuk memelihara keamanan dunia yang menjadi prasyarat utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

"Kepada para pahlawan yang masih ada tetapi hilang upaya serta sanak saudara pahlawanpahlawan yang telah kehilangan tempat bergantung, beta berharap agar mereka dapat menempuh ujian dan dugaan hidup dengan penuh ketabahan, kesabaran dan keyakinan.

"Sebagai pedang dan perisai negara, laksanakanlah amanah dan tanggungjawab ini secara yang terbaik sesuai dengan semangat dan sumpah ikrar saudara dan saudari sekalian," titah baginda.

Tuanku Mizan juga bertitah agar rakyat Malaysia mempertingkatkan lagi semangat kepahlawanan, patriotisme, kesetiaan dan kecintaan selain sanggup berkorban untuk negara.

"Beta ingin melihat agar konsep 1Malaysia ini akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten dalam semua aspek kehidupan rakyat negara ini.Janganlah kita terus terperangkap dalam putaran sudut pandangan yang lebih suka melihat perbezaan bukannya persamaan dan yang lebih gemar meruntuhkan dari membina," titah Seri Paduka. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan