Elaun anggota keselamatan dinaikkan 500 peratus mulai 1 Julai

Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota pasukan keselamatan yang dikurniakan pingat kebesaran negara akan mendapat hadiah sempena Hari Pahlawan tahun ini apabila kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Kenangan yang diterima sehingga 500 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu pada Jumaat berkata, bagi anggota keselamatan yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P), kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar elaun itu kepada RM2,000 sebulan berbanding RM400 sebelum ini.

Sementara penerima Pingat Gagah Berani (P.G.B) akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan berbanding RM300 sebelum ini.

"Tetapi bila sudah pinda akta, akan dapat bayaran tunggakan," katanya pada majlis Penghargaan Kepada Pahlawan Tanahair di Kementerian Pertahanan di sini.

Seramai 86 anggota keselamatan yang merupakan pemegang pingat S.P dan P.G.B yang mula diperkenalkan pada 29 Julai 1960 akan menerima kadar Elaun Kenangan baru itu.

Kadar baru itu berkuatkuasa mulai 1 Julai 2009, kata beliau.

Najib berkata, kerajaan juga telah bersetuju agar penerima tunggal pingat keberanian anugerah kerajaan British, "George Cross', Awang anak Raweng, diberi Elaun Kenangan sebanyak RM2,000 sebulan bagi menambah elaun bulanan sebanyak 100 British Pound (RM581.37) yang diterimanya daripada kerajaan British.

Beliau berkata Elaun Kenangan RM1,500 sebulan juga akan diberikan kepada penerima pingat "Military Cross" dan "Military Medal", yang pada masa ini menerima pencen tambahan sebanyak RM76 setahun atau RM6.50 sebulan.

"Kenaikan kadar Elaun Kenangan ini adalah satu manifestasi pengiktirafan dan keprihatinan kerajaan terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen jitu mereka dalam memelihara keamanan, ketenteraman awam dan mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Sementara itu, penerima Pingat Keberanian British Military Medal (M.M) Jantan Baba, 82, berkata pemberian elaun kenangan itu membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf jasanya walaupun sebelum ini mereka berkhidmat di bawah tentera British.

Katanya, elaun ini juga dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik terutama dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Jantan yang berasal dari Melaka Pinang, Alor Gajah, Melaka telah berkhidmat bersama tentera British selama 21 tahun dan pernah menembak mati tujuh anggota komunis.

Beliau juga pernah berhadapan satu lawan satu dengan pengganas komunis semasa menjalankan operasi di Kenaboi, Negeri Sembilan di mana telinga kirinya ditembak oleh pengganas tersebut.

"Pada masa itu, semua anggota yang lain telah lari menyelamatkan diri dan tinggal saya berdepan dengan salah seorang komunis. Saya berpura-pura berteriak mengarahkan rakan-rakan lain supaya terus mara supaya anggota komunis berundur," katanya.

Bagi Wahab Hamid, yang hanya sempat berkhidmat dengan tentera British selama tujuh tahun kerana diarahkan berhenti atas sebab kesihatan, tidak dapat melupakan pertempuran pasukannya dengan pengganas komunis di Sungai Semo, Guang Musang, Kelantan di mana beliau cedera di bahagian peha hingga ke kaki.

"Pada masa itu, saya hanya ditembak oleh komunis di bahagian peha, tapi masih boleh terus bertempur sehinggalah komunis melemparkan bom yang menyebabkan kaki saya cedera parah kerana tidak sempat melarikan diri," kata Wahab yang berasal dari Kampung Terusan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Wahab yang berterima kasih di atas penghargaan yang diberikan oleh kerajaan itu berkata elaun tersebut sedikit sebanyak boleh membantu menampung perbelanjaan hariannya terutama kos perubatan memandangkan mereka kini sudah menjangkau usia emas.

"Sebelum ini, kita tidak terima bayaran apa-apa yang tinggi. Ini adalah tanda prihatin kerajaan kepada kami," katanya.

Bagi Kapt (B) V.Panirchellvuum yang menerima pingat P.G.B berkata kenaikan bayaran bulanan itu dapat membantu menampung perbelanjaan anak-anak bekas anggota tentera yang masih menuntut.

Tindakan Perdana Menteri itu melambangkan beliau betul-betul ingin merealisasikan konsep 1Malaysia, selaras dengan cogankata mendahulukan rakyat.

"Selaku penerima saya bersyukur dan berasa amat terima kasih kepada kerajaan Malaysia terutama sekali PM kita. Cogankata selalu kata 1Malaysia di mana kita perhatikan beliau amat prihatin kepada warga yang telah beri perkhidmatan kepada negara," katanya yang telah berkhidmat bersama Royal Ranger Regiment selama 11 tahun.

Lt Kol (B) Robert Rizal Abdullah berkata pemberian ini boleh membantu mereka yang hidup dalam keadaan daif memperbaiki kehidupan mereka kepada yang lebih baik dan selesa.

"Saya tahu ada yang bersara, masih berada dalam keadaan daif dengan pencen dan elaun yang sikit, memang kehidupan tak selesa. Jadi dengan kenaikan ini dapat menampung keadaan mereka," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan