ADUN Kahang tawar diri bertanding Timbalan Ketua Pemuda MIC

Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kahang, R.Vidyananthan, semalam mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Pemuda MIC kebangsaan pada pemilihan pergerakan itu 16 Ogos ini.

Katanya hasrat untuk bertanding merebut jawatan nombor dua dalam sayap Pemuda itu telah dipersetujui oleh presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Saya telah berjumpa dengan presiden semalam untuk mendapatkan restu daripada beliau, sebelum membuat pengumuman (untuk bertanding) hari ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau memberi jaminan akan berusaha keras untuk memperkuatkan perpaduan di kalangan anggota Pemuda dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Johor B.Panirselvam, yang turut hadir pada sidang media itu bersama beberapa ketua pemuda bahagian negeri, berkata mereka menyokong penuh hasrat Vidyananthan itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan