Tindakan tegas terhadap mereka yang keluar kenyataan berbau fitnah, kata MCA

Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli MCA yang membuat kenyataan yang boleh menjejaskan imej parti atau mengriktik kepimpinannya dalam ucapan, blog atau menerusi akhbar akan dikenakan tindakan disiplin.

Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng berkata langkah itu diputuskan pada mesyuarat majlis presiden di sini semalam.

Katanya beliau telah diberi mandat untuk memantau sebarang kenyataan berbau fitnah yang dibuat oleh ahli menerusi pelbagai saluran media dan mereka yang melanggar peraturan itu akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin.

Dalam sidang media di sini, beliau berkata keputusan itu adalah selaras dengan Perkara 123 (a) perlembagaan parti.

Sambil menafikan bahawa langkah itu bagi menyekatkan kebebasan bersuara dalam parti, Wong berkata ahli boleh menyalurkan pendapat dan rintihan mereka melalui saluran yang lebih sesuai.

Bagaimanapun, beliau mengakui beberapa kenyataan yang dibuat oleh ahli menerusi media sejak kebelakangan ini telah membawa kesan negatif kepada parti itu.

Wong berkata tindakan Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat semula kes tertentu bukan berasaskan pilihan seperti diperkatakan oleh laporan media sejak kebelakangan ini.

"Jawatankuasa itu perlu menyelesaikan semua kes secepat mungkin termasuk kes yang dikendalikan oleh jawatankuasa disiplin sebelum ini," katanya.

Selain itu, mesyuarat itu juga memutuskan langkah penyusuan semula struktur parti, prosedur pengambilan ahli dan peraturan membuka cawangan baru.

Mengenai cadangan pemilihan pengerusi negeri dan presiden parti secara terus, beliau berkata perkara itu perlu dikaji semula dengan mendapatkan pandangan ahli dan peraturan undang-undang parti. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan