Parti pembangkang mahu jumpa PM bincang perkara mendesak - Berita Semasa | mStar

Parti pembangkang mahu jumpa PM bincang perkara mendesak

Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pimpinan parti pembangkang mahu mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan beberapa perkara mendesak termasuk peranan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan pembangkang itu mahu skop suruhanjaya berkenaan diperluaskan dan tidak dihadkan kepada proses siasatan sahaja.

"Kita mahu suruhanjaya turut menyiasat punca kematian Teoh," kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Anwar berkata pertemuan itu juga adalah untuk mendapatkan pandangan Najib agar beliau bersetuju untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan