Najib hadir lima mesyuarat NKRA

Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sehari selepas mengumumkan sasaran bagi enam Bidang Hasil Utama Nasional (NKRA), Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan lima mesyuarat berturut-turut dalam tempoh dua setengah jam dengan menteri-menteri peneraju bidang berkaitan.

Lima mesyuarat sulung Pasukan Petugas Menteri Peneraju yang dihadiri oleh Perdana Menteri itu bermula pada 9.15 pagi dan diadakan di bilik berasingan di Bangunan Putra Perdana di sini.

Menteri peneraju dalam bidang masing-masing ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat (meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil (meningkatkan taraf hidup rakyat miskin), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (mengurangkan kadar jenayah), Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal (meningkatkan kemudahan asas luar bandar), dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (membanteras rasuah).

Mesyuarat Pasukan Petugas Menteri Peneraju mengenai peningkatan mutu pendidikan tidak dapat dijalankan hari ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, kini berada di Uganda bagi menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Global.

Setiap daripada mesyuarat itu diteruskan walaupun setelah Perdana Menteri meninggalkannya untuk menghadiri mesyuarat seterusnya.

Semalam, Najib menyenaraikan sasaran bagi enam NKRA selaras dengan wawasan pentadbirannya berdasarkan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Enam bidang berkenaan adalah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu dicapai, meningkatkan taraf hidup rakyat, meningkatkan prasarana luar bandar dan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan