Wartawan dakwa dikasari pegawai perubatan Hospital P.Pinang

Diterbitkan: Isnin, 27 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Seorang wartawan China Press mendakwa dikasari oleh seorang pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang di sini lewat malam semalam kerana mengambil gambar pesakit tanpa kebenaran di Unit Kemalangan dan Kecemasan hospital berkenaan.

Teh Chee Hean, 30, yang mengalami cedera ringan di bahu kiri, tangan dan lutut, menerima rawatan pesakit luar di hospital sama selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada 12.50 pagi.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri Phee Boon Poh di sini hari ini, beliau berkata insiden itu berlaku pada 12 tengah malam selepas beliau mengambil gambar seorang lelaki pesakit mental yang ditahan di sebuah kawasan perumahan berhampiran dan dihantar ke hospital untuk rawatan perubatan.

"Semasa saya hendak meninggalkan kawasan parkir iaitu lokasi saya mengambil gambar itu, seorang pegawai perubatan menghampiri saya dan bertanya mengenai gambar yang saya rakamkan serta mendesak saya supaya memadamkan gambar itu sungguhpun selepas saya memperkenalkan diri sebagai seorang wartawan," katanya.

Beliau mendakwa pegawai perubatan itu tiba-tiba mencekak leher dan menarik tangannya dari belakang serta menolaknya ke tanah apabila beliau terus enggan memadamkan gambar itu dan beredar dari situ.

"Selepas menjerit minta tolong, beberapa anggota pasukan Rescue 911 yang membawa pesakit mental itu ke hospital bergegas datang membantu," katanya.

Sementara itu, Phee berkata Pengarah Kesihatan Negeri dan Pengarah hospital telah pun memulakan siasatan dalaman hari ini dan memberi jaminan bahawa tiada perkara yang disembunyikan berhubung kes itu.

Berdasarkan laporan awal oleh pegawai berkenaan, beliau berkata Teh dilihat mengambil gambar lelaki dalam ambulans di unit itu tanpa kebenaran dan enggan memadamkan gambar ketika diminta berbuat demikian.

Pegawai itu mendakwa beliau dan Teh terjatuh ketika beliau cuba menarik tangan Teh.

Phee menyuarakan kebimbangannya berhubung perkara itu dan memohon maaf kepada Teh berikutan kejadian yang berlaku.

Kerajaan negeri, katanya memandangkan serius insiden terbabit dan mengharapkan siasatan yang terperinci serta telus.

"Saya tahu kedua-dua pihak hanya menjalankan tugas dan saya kesal kerana perkara ini terjadi. Jadi biarlah polis dan pihak berkuasa kesihatan menyiasat perkara ini. Masih terlalu untuk mengatakan siapa yang bersalah," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan