MIC sedia bekerjasama dengan kerajaan P. Pinang selesai isu Kg Buah Pala

Diterbitkan: Ahad, 26 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: MIC sedia berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menyelesaikan isu Kampung Buah Pala, di Bukit Gelugor dekat sini demi kepentingan masyarakat India.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Saya telah hubungi beliau (Lim) pagi ini dan kami akan tentukan tarikh perjumpaan pada petang ini bagi mencari jalan penyelesaian masalah penduduk India di kampung berkenaan.

"Mungkin perjumpaan itu akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga ini dan saya akan datang sekali lagi ke Pulau Pinang," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Konvensyen MIC Pulau Pinang Ke-63 di sini hari ini.

Samy Vellu berkata adalah lebih baik mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah penduduk Kampung Buah Pala daripada bertelagah antara satu sama lain.

"Menjadi tugas dan tanggungjawap MIC untuk membantu dan mencari jalan penyelesaian kepada sebarang masalah yang melibatkan masyarakat India di negera ini.

"Kita harap perbincangan yang akan diadakan dengan Ketua Menteri itu akan membuahkan hasil yang positif kepada penduduk kampung berkenaan," katanya.

Sementara itu, Samy Vellu sekali lagi menyatakan kesediaan MIC untuk membayar RM3.2 juta berdasarkan harga premium bagi mendapatkan kembali tanah Kampung Buah Pala itu.

Kontroversi pemilikan tanah kampung itu timbul apabila kerajaan negeri menjual tanah seluas 2.6 hektar di situ kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang Bhd.

Koperasi itu melantik pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan itu dan mendapat perintah mahkamah supaya penduduk kampung berkenaan mengosongkan tanah mereka sebelum 3 Ogos ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan