Jemaah haji akan diberikan vaksin selesema biasa, kata Liow

Diterbitkan: Ahad, 26 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan mencadangkan kepada kerajaan supaya semua bakal haji Malaysia tahun ini diberi vaksin selesema bermusim bagi mengurangkan risiko jangkitan influenza A(H1N1) ketika mengerjakan haji.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata walaupun vaksin tersebut tidak mampu menghalang jangkitan virus A(H1N1) tetapi tindakan itu sekurangkurangnya mampu melindungi jemaah daripada terkena selesema biasa.

"Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet akan datang. Saya akan bincang dan terangkan faedahnya untuk dapatkan sokongan kerajaan dalam pemberian vaksin itu.

"Kita faham yang vaksin bermusim ini hanya mampu mencegah virus H2N2 dan selesema biasa. Tetapi ini hanyalah ikhtiar kita, sekurangkurangnya kita ada perlindungan daripada terkena selesema," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran kempen bersama mencegah Influenza A(H1N1) di Puchong, dekat sini, semalam.

Katanya cadangan itu dilihat sesuai kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memuji tindakan pantas kementerian memberikan vaksin selesema biasa kepada semua petugas barisan hadapan seperti doktor, polis, imegresen dan kakitangan lapangan terbang ketika virus tersebut mula dikesan 30 April lalu di Mexico.

Liow berkata demikian ketika ditanya berhubung arahan Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang mahukan semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksin H1N1 sebelum mengerjakan haji November ini.

Beliau berkata arahan tersebut tertakluk sama ada Malaysia telah mempunyai bekalan vaksin itu.

"Sekarang kita belum ada vaksin H1N1 lagi. Sebab itu kalau keputusan nak bagi vaksin kepada bakal haji diambil, kementerian akan cadangkan supaya jemaah diberi vaksin selsema biasa untuk mengelakkan mereka terkena selsema,"katanya.

Beberapa hari lepas, Menteri-menteri Kesihatan Negara Arab telah bersetuju melarang warga emas, kanak-kanak bawah 12 tahun dan mereka yang berpenyakit kronik daripada mengerjakan ibadat haji tahun ini berikutan penularan influenza A(H1N1).

Menteri Kesihatan Saudi Dr Abdullah AlRabeeah bagaimanapun dilaporkan berkata, jumlah kuota jemaah haji sesebuah negara tidak akan diubah.

Setakat ini kuota jemaah Malaysia yang telah ditetapkan oleh pihak Arab Saudi masih lagi kekal sebanyak 26,000 jemaah setahun. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan