PM: Hormati peruntukan siasatan kes kematian Teoh

Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDAR BARU BANGI: Keputusan Kabinet mengarahkan inkues dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock adalah berdasarkan peruntukan undang-undang.

Oleh itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, semua pihak harus mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada mengenai siasatan terhadap sesuatu kes kematian dan akta penubuhan sesebuah suruhanjaya.

"Undang-undang yang sabit dengan kematian seseorang individu ada termaktub dalan Kanun Prosedur Jenayah dan penubuhan suruhanjaya pun ada aktanya tersendiri.

"Jadi apa yang diputuskan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang negara," katanya selepas melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di sini semalam.

Beliau mengulas gesaan banyak pihak termasuk keluarga Teoh yang mahu peranan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan diperluaskan bagi menyiasat punca sebenar kematian Teoh.

Rabu lalu, Najib mengumumkan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Teoh.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat kerana Kabinet mahu penyiasatan kematian Teoh dilakukan dengan menyeluruh bagi mencari punca kejadian tersebut.

Malah Kabinet turut memutuskan satu Suruhanjaya Diraja diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Teoh bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

Kes Teoh, 30, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Ean Yong Hian Wah mendapat perhatian umum berikutan kematiannya yang menimbulkan tanda tanya.

Mendiang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam Khamis minggu lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM.

Menurut Perdana Menteri lagi, Peguam Negara akan mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan dengan lebih terpeinci mengenai keputusan Kabinet itu semalam.

"Untuk jelaskan dengan lebih lanjut mengenai perkara ini, Peguam Negara akan keluarkan kenyataan dan penjelasan yang lebih terpeinci hari ini," katanya.

Ditanya adakah ini bermakna beliau tidak akan mengendahkan gesaan pihak-pihak terbabit mengenai siasatan berkenaan, Najib berkata, seharusnya semua pihak mematuhi undang-undang yang diwujudkan.

"Kita perlu patuh pada undang-undang, jangan nak ambil kesempatan daripada kejadian ini.

"Matlamatnya ialah untuk mengetahui punca kematian... kita berminat untuk tahu kebenaran, kebenaran akan didedahkan kepada masyarakat, itu yang penting," katanya.

Tambah beliau, perkara ini sepatutnya tidak dipolitikkan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

"Tujuan kita bukan untuk kepentingan politik, tapi untuk beritahu keluarga Teoh mengenai kebenarannya," katanya.

Berhubung hasrat keluarga Teoh untuk menemuinya bagi membincangkan mengenai perkara tersebut, Najib berkata, beliau bersedia untuk mengadakan pertemuan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan