UiTM awalkan cuti semester kawal H1N1

Diterbitkan: Jumaat, 24 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempercepatkan cuti pertengahan semester semasa bagi membendung penularan virus Influenza A H1N1.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuan Abdul Rahman, pihak pengurusan universiti tersebut telah mengambil keputusan untuk meminda tarikh cuti pertengahan semester daripada tarikh asalnya 17-27 September kepada tarikh baru iaitu 27 Julai hingga 2 Ogos ini.

“Langkah tersebut merupakan tindakan proaktif pihak UiTM agar pihak ibu bapa tidak bimbang atau panik dengan laporan-laporan media tentang perkembangan wabak ini di semua kampus UiTM.

"Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan akademik dan kesihatan pelajar.

“Pihak UiTM telah memberi taklimat dan berbincang dengan wakil daripada Kementerian Pengajian Tinggi tentang perkembangan dan tindakan yang terbaik yang harus diambil oleh pihak universiti bagi memastikan tindakan yang diambil adalah yang terbaik bagi pelajar, dan memastikan proses pembelajaran mereka tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada mStar Online hari ini.

Bagaimanapun, tarikh baru ini adalah berkuat kuasa bagi seluruh sistem UiTM kecuali cawangan Melaka Kampus Lendu sahaja.

Baru-baru ini, empat buah kampus cawangan UiTM ditutup ekoran penularan virus Influenza A H1N1.

Kampus tersebut ialah, UiTM Kampus cawangan Dungun, UiTM Kampus cawangan Permatang Pauh, UiTM Kampus cawangan Lendu, Alor Gajah dan UiTM Kampus cawangan Seri Iskandar, Perak.UiTM mempunyai 15 kampus cawangan di seluruh negara dengan jumlah pelajar seramai 120,000 orang.

Sehubungan dengan itu Dr. Ahmad berkata, pihak pengurusan universiti telah mengambil beberapa tindakan awal dan bekerjasama dengan pihak Jabatan Kesihatan di setiap negeri bagi mencegah merebaknya wabak ini.

“Walaupun tidak semua kampus cawangan diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan, pihak pengurusan universiti mengambil keputusan untuk mempercepatkan cuti pertengah semesternya,” katanya.

Tegasnya, cuti pertengahan semester ini adalah untuk pelajar sahaja.

“Jika terdapat staf UiTM yang ingin bercuti mereka dikehendaki mengikut prosedur biasa dan jika mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan H1N1 mereka dikehendaki mendapat rawatan di hospital berdekatan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Dr. Ahmad berkata, jika selepas tamat tempoh cuti pertengahan semester masih terdapat pelajar yang tidak sihat mereka dinasihatkan supaya tidak pulang ke kampus tetapi mereka dikehendaki mendapat rawatan di hospital atau klinik kerajaan berdekatan dengan rumah masing-masing.

“Mereka perlu mendapatkan surat pengesahan sihat daripada klinik berkenaan untuk dibenarkan menyambung semula kuliah bagi semester ini,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan