Penduduk Kg Buah Pala berhak diwakili Penasihat Undang-undang

Diterbitkan: Jumaat, 24 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam hari ini menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang menyetujui permohonan penduduk Kampung Buah Pala supaya penasihat undang-undang dibenarkan turut serta bersama mereka dalam perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung isu tanah kampung itu.

Setiausahanya George Varughese berkata sebagai sebuah kerajaan yang mengaku demokratik serta telus dan akan mewakili kepentingan rakyat, kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya berusaha bersungguhsungguh membuktikannya.

"Hak mendapat akses untuk diwakili penasihat undangundang adalah perkara asas Rule of Law, yang seharusnya menjadi hak mutlak yang boleh dilaksanakan dengan bebas dalam masyarakat demokratik," menurutnya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata Jumaat lepas satu kumpulan penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor menghantar satu memorandum kepada Majlis Peguam yang menyuarakan kebimbangan mereka, antara lain merujuk kepada insiden mereka tidak dibenarkan diwakili oleh penasihat undangundang pilihan mereka, semasa berunding dengan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 14 Julai lepas bertegas apabila memutuskan supaya penduduk kampung itu tidak membawa peguam mereka Darshan Singh Khaira dalam perjumpaan dengannya, kerana kerajaan negeri tidak mahu "orang luar" turut berada dalam mesyuarat itu yang diadakan di Komtar pada 16 Julai pukul 8 malam.

Lim dilaporkan berkata beliau tidak mahu perbincangan itu dimanipulasi oleh "orang luar", dan meminta supaya penduduk kampung itu membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu.

Kontroversi pemilikan tanah kampung itu timbul apabila kerajaan negeri menjual tanah seluas 2.6 hektar di situ kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang Bhd.

Bagaimanapun, koperasi berkenaan kemudiannya melantik pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd. untuk membangunkan kawasan itu dan mendapat perintah mahkamah supaya penduduk kampung berkenaan mengosongkan tanah mereka sebelum 3 Ogos ini.

Namun penduduk kampung itu enggan berpindah kerana mendakwa tanah kampung itu diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini kepada Koperasi tersebut tanpa persetujuan mereka.

Penduduk itu mendakwa beberapa pemimpin pembangkang berjanji untuk menyelesaikan isu itu dalam kempen mereka pada pilihan raya 2008 sekiranya mereka dapat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Kerajaan negeri bagaimanapun berkata ia tidak dapat membeli balik tanah itu kerana ia terlalu mahal, dan menyalahkan pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini terhadap masalah berkenaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan