Kes liwat Anwar ditangguh 2 September

Diterbitkan: Jumaat, 24 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 2 September depan untuk tarikh sebutan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan tuduhan liwat terhadapnya dan perbicaraan utama kes berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sebentar tadi.

Perbicaraan bagi kes berkenaan terus ditangguhkan berikutan keputusan mahkamah yang turut membenarkan permohonan pihak pendakwa bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Julai lalu, yang membenarkan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapatkan sebahagian dokumen dan barangan berkaitan kes liwatnya sebelum perbicaraan bermula.

Tempoh masa yang panjang diberikan sebelum prosiding kes berkenaan disambung semula juga dibuat setelah hakim mengambil kita proses rayuan pendakwaan di Mahkamah Rayuan selesai dan semakan terhadap keputusan yang akan dibuat di Mahkamah Persekutuan oleh pihak yang kalah dalam rayuan itu.

"Memandangkan pihak pendakwa memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan yang telah dibuat, maka semua proses yang berkaitan dengan perbicaraan kes ini terpaksa ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan," kata Mohamad Zabidin.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini pihak pembelaan telah memberikan afidavit jawapan berhubung permohonan pihak pendakwa untuk menangguhkan pelaksanaan terhadap perintah untuk menyerahkan dokumen yang berkaitan kepada pihak pembelaan.

Peguam pembela, Amer Hamzah Arshad dalam hujahannya berkata mahkamah tidak boleh menyekat hak yang telah diperuntukkan oleh undang-ung agar pihaknya dibekalkan dengan dokumen yang berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

Bagaiamnapun hakim berkata, tidak ada mana-mana pihak yang akan menyekat hak pihak pembela itu memandangkan beliau sendiri yang mengarahkan pihak pendakwa membekalkan dokumen-dokumen berkenaan.

"Tiada siapa yang menghalang, tapi walaubagaiamnapun kita kena biarkan Mahkamah Rayuan buat keputusan dahulu.

"Sama ada Mahkamah Rayuan menerima rayuan pihak pendakwa dan sekaligus membatalkan keputusan saya pada 16 Julai lalu kita belum ketahui," kata hakim Mohamad Zabidin.

Isnin lalu pihak pendakwaan memfailkan notis usul di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah itu yang ditandatangani oleh Datuk Nordin, seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi kes liwat berkenaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan Rabu lalu untuk mendengar permohonan berkenaan.

Bagaimanapun hakim terpaksa memberikan penangguhan sementara (interim) dan membenarkan pendengaran permohonan itu ditunda ke hari ini bagi membolehkan pembelaan memfailkan afidavit jawapan.

Di dalam affidavit pihak pendakwaan, antaranya menyatakan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah pada 16 Julai itu adalah perlu kerana perintah itu berhubung kenyataan saksi yang dirakamkan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah yang diarahkan dibekalkan kepada Anwar akan memberi impak yang mana akan memudaratkan penyiasatan pendakwaan bukan sahaja dalam kes ini tetapi dalam kes jenayah lain.

Affidavit itu juga menyatakan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu juga perlu bagi mengelakkan rayuan pendakwaan terhadap perintah itu di Mahkamah Rayuan menjadi akademik kerana ia adalah persoalan undang-undang yang penting.

Pada 16 Julai, Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar dan memerintahkan pendakwaan supaya menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan dalam masa tujuh hari.

Tempoh tujuh hari itu berakhir semalam.

Mohamad Zabidin dalam keputusannya, bagaimanapun menolak permohonan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi mendapatkan sampel spesimen yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana sampel itu telah disita oleh ahli kimia dan pihak pembela boleh memeriksanya setelah ia dikemukakan kepada mahkamah.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Antara dokumen yang dibenarkan diberi kepada pihak pembelaan ialah kenyataan Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi, pemilik kondominium berkenaan Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga saksi utama lain.

Dokumen lain ialah salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pos pengawal di Desa Damansara Condominium, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, dan di kawasan menunggu lif di Blok 11 kondominium itu dari 25 hingga 27 Jun, 2008.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan