Suruhanjaya juga patut siasat punca kematian Teoh - Majlis Peguam

Diterbitkan: Khamis, 23 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam berharap penubuhan Suruhanjaya Diraja yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini akan turut menyiasat punca kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Presidennya Ragunath Kesavan berkata ini adalah kerana kuasa sesebuah inkues bagi menentukan punca kematian adalah terhad berbanding kuasa Suruhanjaya Diraja.

"Selain itu, inkues dikendalikan oleh seorang majistret yang bertindak sebagai koroner dan beliau biasanya merupakan seorang pegawai yang paling junior.

"Koroner tidak boleh mengarahkan supaya siasatan dijalankan bagi menentukan punca kematian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Najib mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi meneliti prosedur soal siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di samping itu, beliau juga mengarahkan supaya satu inkues yang diketuai seorang majistret diimulakan minggu depan bagi menentukan punca sebenar kematian Teoh.

Teoh, 30, ditemui mati pada pukul 1.30 tengah hari Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14.

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Michael Yeoh menyambut baik penubuhan suruhanjaya itu dalam menentukan kaedah soal siasat yang dijalankan oleh SPRM itu menepati standard hak asasi manusia.

Katanya hasil siasatan serta cadangan suruhanjaya itu nanti diharap dapat diguna pakai oleh SPRM dalam prosedur siasatannya pada masa depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan