Polis cari jalan mantapkan prosuder siasatan

Diterbitkan: Khamis, 23 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mencari jalan bagi memantapkan lagi prosedur siasatannya supaya sebarang kes yang dibawa ke mahkamah tidak dibuang begitu sahaja akibat kecacatan prosedur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pasukan itu akan membincang langkah-langkah yang boleh dilaksanakan di samping mengambil pendekatan secara bersepadu antara jabatannya untuk mengemas kini segala aspek yang diperlukan bagi tujuan itu.

Beliau berkata pihaknya juga bersetuju untuk memaklumkan kepada pengadu dan mangsa kes yang membuat laporan, mengenai perkembangan terkini siasatan yang dibuat berdasarkan laporan pengadu.

"Ia memberikan keadilan kepada pengadu untuk mengetahui perkembangan dalam siasatan terhadap laporan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di seminar khas ketua-ketua siasatan jenayah polis dari seluruh negara di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

"Jika tiada laporan perkembangan siasatan, nanti mereka akan menyangka polis bersubahat dengan penjenayah dan mereka tidak mahu membuat laporan, jadi lebih elok polis maklumkan kepada pengadu mengenai siasatan yang dijalankan," katanya.

Sementara itu Musa berkata polis memberi jaminan akan membuat siasatan segera berhubung kematian setiausaha politik seorang exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock, sejajar dengan pengumuman kerajaan semalam untuk menjalankan inkues bagi menyiasat punca kematian mendiang.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik keputusan Kabinet semalam untuk menubuhkan inkues berkenaan, yang dilihat membuktikan ketelusan kerajaan untuk mengetahui perkara sebenar berhubung insiden itu.

Kabinet semalam memutuskan supaya satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Teoh, 30, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah.

Mendiang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam Khamis lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan