SPRM terima keputusan penubuhan Suruhanjaya Diraja

Diterbitkan: Rabu, 22 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima keputusan Jemaah Menteri berhubung inkues awam dan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji peraturan soal-siasat yang digunakan suruhanjaya itu semasa menyoalsiasat setiausaha politik Exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock.

SPRM dalam kenyataannya berkata ia berharap dengan adanya inkues awam dan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu kebenaran dalam isu yang dibangkitkan orang ramai akan terbukti akhirnya.

"SPRM juga berharap agar tidak akan timbul lagi manipulasi, spekulasi dan dakwaan mana-mana pihak terhadapnya sehingga satu keputusan dibuat oleh kedua-dua badan berkenaan.

"Keputusan yang dibuat kedua-dua pihak berkenaan kelak hendaklah diterima baik oleh semua pihak yang terbabit," kata kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat SPRM di sini.

Sementara itu di KAJANG keluarga dan tunang Teoh menyambut baik langkah penubuhan Suruhanjaya Diraja itu.

Peguam keluarga Teoh, Eric Tan Pok Shyong berkata langkah penubuhan Suruhanjaya Diraja itu dilihat wajar bagi menyiasat secara telus dan adil dalam kejadian yang menimpa Teoh.

"Mereka (keluarga) semua dan tunang mangsa Soh Cher Wei sangat gembira akan berita penubuhan suruhanjaya diraja itu," katanya kepada pemberita ketika menemani keluarga mangsa memberi keterangan mengenai kejadian yang menimpa Teoh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.

Eric berkata keluarga mangsa berharap dengan penubuhan suruhanjaya diraja, kes itu dapat diselesaikan dengan cepat dan mencari punca sebenar kematian Teoh.

Keluarga mendiang Teoh yang terdiri daripada abang, adik perempuan, emak, ayah, kakak serta tunangnya tiba di ibu pejabat polis daerah itu pada kira-kira pukul 3 petang dan selesai memberikan keterangan dua jam kemudian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu berkata penubuhannya penting bagi mengkaji peraturan soal siasat yang digunapakai oleh SPRM semasa melakukan soal siasat terhadap Teoh.

Najib turut mengarahkan supaya inkues terhadap kematian Teoh dimulakan minggu depan untuk menentukan punca sebenar kematian mendiang.

Teoh ditemui mati pada pukul 1.30 tengah hari Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan ibu pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan