Kematian Teoh: PM umum tubuh inkues

Diterbitkan: Rabu, 22 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini memutuskan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock minggu lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu dibuat kerana Kabinet mahu penyiasatan kematian Teoh dilakukan dengan menyeluruh bagi mencari punca kejadian tersebut.

Katanya Kabinet turut memutuskan satu suruhanjaya diraja diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Teoh bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

"Pihak Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis juga telah diarahkan bagi menyelesaikan siasatan kes ini dengan secepat mungkin dan laporan mengenainya akan diumumkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes Teoh, 30, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Ean Yong Hian Wah mendapat perhatian umum berikutan kematiannya yang menimbulkan tanda tanya.

Mendiang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam Khamis lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Teoh, Najib berkata langkah-langkah itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mencari punca kejadian tersebut agar keluarganya dan masyarakat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Katanya kerajaan akan melakukan apa saja yang perlu untuk mencari kebenaran itu dan beliau sendiri akan memaklumkan kepada keluarga Teoh hasil siasatan itu nanti.

"Saya sebagaimana anggota Kabinet yang lain ingin mengetahui punca sebenar kematian Teoh.

"Oleh itu, saya harap semua pihak agar bersabar dan tidak membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat serta menimbulkan persepsi yang salah, mengelirukan rakyat atau menjadikan isu ini bermotifkan politik," katanya.

Beliau berkata untuk mencari kebenaran kematian Teoh, ia tidak seharusnya dicampur adukkan dengan kepentingan atau unsur-unsur politik tetapi apa yang penting adalah untuk mencari kebenaran.

Katanya kerajaan mahu mendapatkan kebenaran mengenai kes itu dan proses siasatan akan dijalankan secara telus.

Sambil menafikan bahawa tiga langkah yang diambil disebabkan tekanan sesetengah pihak, Najib berkata adalah penting mencari kebenaran bagi memastikan rakyat mempunyai penuh keyakinan terhadap institusi-institusi yang penting di negara ini.

Ketika ditanya mengenai tempoh masa bagi polis menyelesaikan siasatan, Najib berkata beliau tahu bahawa polis akan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan dan majistret itu tidak diberikan tempoh masa dan terserah kepadanya untuk memutuskannya.

Beliau juga berkata kini terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan majistret yang akan mengetuai inkues itu.

"Tapi kami sedang mengambil langkah untuk memaklumkan kepada mahkamah berhubung keperluan untuk mengadakan inkues itu. Jadi, saya jangka inkues itu akan bermula minggu depan," katanya.

Najib berkata suruhanjaya diraja akan ditubuhkan secepat mungkin dan anggotanya akan diumumkan kemudian.

Ketika ditanya sama ada penubuhan suruhanjaya itu adalah bagi mengkaji semula Piawaian Prosedur Operasi (SOP) SPRM, Najib berkata: Saya tidak berkata ianya akan dikaji semula tapi ia akan dikaji oleh suruhanjaya diraja."

Mengenai laporan mengatakan SPRM telah diminta menghentikan siasatan, beliau berkata laporan itu tidak betul dan tidak sepatutnya timbul sebarang prasangka berhubung kes itu.

"Kita tak boleh ada apa-apa prasangka setakat ini. Kita tunggu dulu hasil siasatan," katanya.

Ditanya bahawa para pegawai SPRM yang menyiasat kes Teoh telah digantung, Najib berkata: "Mereka tidak digantung tetapi penyiasat utama telah ditukarkan ke ibu pejabat."

Ketika ditanya sama ada siasatan oleh SPRM terhadap Exco pakatan pembangkang akan diteruskan, Najib berkata : "Itu adalah kes berasingan."

"Sebarang salah laku akan disiasat oleh SPRM dan kami belum lagi membuat keputusan untuk menggantung siasatan," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan