Influenza A (H1N1): Seorang masih dirawat di ICU

Diterbitkan: Rabu, 22 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pesakit kes jangkitan Influenza A(H1N1) yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh sudah beransur pulih, namun masih belum dibenarkan keluar dari ICU.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata ketika ini terdapat 11 pesakit atau dua peratus sedang menerima rawatan antiviral di hospital, manakala baki 909 pesakit atau 97 peratus sudahpun sembuh dan empat lagi (satu peratus) sedang menerima rawatan pesakit luar di rumah masing-masing.

Beliau berkata sehingga pukul 8 pagi ini, 44 kes baru H1N1 dilaporkan dengan tiga darinya membabitkan kes import dari Brunei, dan 41 kes atau 93 peratus jangkitan tempatan.

"Daripada 44 kes baru ini, hanya dua yang dirawat di hospital dengan rawatan anti-viral. Baki kes dirawat sebagai pesakit luar dengan rawatan simptomatik," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata 41 kes tempatan dilaporkan adalah dari lima kluster yang melibatkan 38 kes dan baki tiga kes adalah keskes sporadic atau terpencil.

Lima kejadian kluster melibatkan lapan kes dari kluster yang berlaku di kalangan 1,177 pelajar dan kakitangan Kolej Winfield International, Kuala Lumpur; sepuluh kes daripada kluster melibatkan 1,011 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubong, Limbang, Sarawak dan tujuh kes daripada kluster di kalangan 3,095 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Maktab Tentera DiRaja (RMC), Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Selain itu terdapat juga tiga kes dari kluster di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2, Negeri Sembilan yang mempunyai 1,276 pelajar dan kakitangan, di samping sepuluh kes dari kluster di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, yang mempunyai 5,664 pelajar.

Mengenai kes H1N1 di Malaysia, Dr Mohd Ismail berkata 921 kes; yang terdiri daripada 572 kes import dan 349 kes jangkitan tempatan dilaporkan daripada seluruh negara, tanpa merekodkan sebarang kematian setakat ini.

Beliau berkata sehingga semalam (21 Julai), Pandemik H1N1 2009 melanda ke 158 buah negara dengan melibatkan 143,726 kes dengan 812 kematian.

Katanya kadar kes fataliti Influenza A(H1N1) adalah 0.56 peratus atau satu kes kematian bagi tiap 180 kes dan berbanding dengan kadar kematian kes denggi di Malaysia iaitu 0.25 peratus atau satu kes bagi setiap 500 kes. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan