Dua pakar patologi lawat semula Plaza Masalam

Diterbitkan: Rabu, 22 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua pakar patologi yang mengendalikan bedah siasat mayat Teoh Beng Hock hari ini mengunjungi semula Plaza Masalam, iaitu lokasi setiausaha politik exco kerajaan Selangor itu ditemui mati.

Pakar patologi itu, Dr Prashant N. Samberkar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Dr Khairul Azman dari Hopital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, menghabiskan masa kira-kira dua jam di sana.

Lokasi yang mereka kunjungi termasuk tingkat 14 yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tingkat lima tempat mayat Teoh ditemui serta kawasan letak kereta dan tingkat bawah.

"Lawatan hari ini ialah untuk membolehkan pakar patologi mengumpul lebih banyak maklumat sebelum mereka menyerahkan hasil laporan lengkap mereka," kata DSP Kamarudin Ismail dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kepada pemberita selepas lawatan itu.

Terdahulu, dua pakar patologi yang tiba pada kira-kira pukul 10.30 pagi diberi taklimat oleh Kamarudin mengenai kematian Teoh.

Teoh, 30, ditemui mati pada pukul 1.30 petang Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14.

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri barubaru ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan