Noordin Mat Top tidak berada di Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 21 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suspek pengganas paling dikehendaki, Noordin Mat Top yang dikaitkan dengan beberapa siri pengeboman di Indonesia termasuk yang terbaru di dua hotel di Jakarta, tidak berada di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata berdasarkan hasil risikan, Malaysia mengesahkan Noordin yang dikatakan dalang insiden pengeboman itu tidak berada di negara ini.

"Dia tiada di negara ini. Saya tidak tahu di mana dia berada tetapi saya amat pasti dia tiada di sini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Balai Polis Ara Damansara dan "Bandar Selamat" di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia dalam memburu pengganas yang terlibat dalam tragedi pengeboman itu melalui perkongsian maklumat..

"Sekarang ini kerjasama berterusan, peningkatan keselamatan di ibu negara ini sedang dilakukan, pihak-pihak kedutaan telah pun dimaklumkan dan banyak maklumat diterima. Hasil daripada maklumat itu membantu kita menyediakan dan membuat persiapan yang sepatutnya.

"Unit risikan Malaysia juga sudah dihantar ke negara berkenaan sejurus tragedi itu berlaku dan kini kita memantau pengikut Noordin dalam negara ini dan kita tahu pergerakan mereka," katanya.

"Pergerakan mereka dipantau secara dekat dan kita dapati mereka mempunyai rangkaian di Malaysia dan Indonesia. Hanya dengan kerjasama dan konsep penelitian yang rapi kita boleh kenalpasti rangkaian pengganas yang juga mungkin wujud di negara lain," katanya.

Bagaimanapun, katanya tiada bukti jelas yang menunjukkan Noordin menjadi dalang serangan di J. W Marriot dan Ritz Calton pada Jumaat lepas yang mengorbankan sembilan orang, kebanyakannya pelancong manakala 50 lagi cedera.

"Keganasan adalah fenomena global yang membabitkan satu rangkaian. Dunia tiada sempadan, keganasan boleh berlaku di manamana sahaja.

"Hendak kata hanya seorang individu yang terlibat adalah mustahil kerana insiden seperti ini memerlukan perancangan yang cukup rapi dan teliti. Jadi jika mahu menuding jari pada mana-mana pihak adalah tidak sesuai," katanya.

Ketika ditanya sama ada tiga rakyat tempatan anggota JI yang ditahan pada 25 Jun lepas di Johor mempunyai kaitan dengan tragedi pengeboman itu, beliau berkata mereka adalah pengganas.

Beliau berkata bagi membendung kejadian seperti itu berulang, kerjasama dan perkongsian maklumat antara negara yang selama ini telah wujud perlu terus dipertingkatkan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan