H1N1: Sebuah kelas di SRK Subang Bestari Shah Alam ditutup

Diterbitkan: Selasa, 21 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah kelas iaitu kelas 5 Lotus di Sekolah Rendah Kebangsaan Subang Bestari Shah Alam, Selangor yang mempunyai 43 pelajar diarah tutup hingga Isnin depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata penutupan tersebut berikutan 15 pelajarnya tidak hadir kerana mengalami gejala influenza jenis lain (ILI).

"Kelas ini juga merupakan kelas yang dihadiri oleh satu kes tempatan iaitu kes ke-871 yang disahkan H1N1 dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh," katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus membuat pemantauan tahap kesihatan para pelajar untuk memastikan keadaan terkawal.

Mengenai kes terbaru yang dilaporkan di Malaysia, Dr Mohd Ismail berkata sehingga pukul 8 pagi tadi, hanya terdapat tiga kes positif H1N1 termasuk dua orang adik beradik yang baru pulang bercuti dari Bandung, Indonesia pada 11 Julai lepas.

"Kedua-duanya telah dimasukkan ke wad pada hari yang berlainan iaitu pada 16 dan 18 Julai kerana menghidap komplikasi pneumonia di Hospital Kuala Lumpur, dan disahkan dijangkiti Influenza A(H1N1) semalam," katanya.

Mereka telah diberi rawatan anti viral dan berada dalam keadaan stabil.

Satu lagi kes merupakan kes jangkitan tempatan melibatkan seorang lelaki berumur 32 tahun yang bekerja di syarikat swasta dan berurusan dengan pelanggan termasuk dari luar negara.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana mengalami komplikasi pneumonia dan disahkan dijangkiti Influenza A(H1N1).

"Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan telah diberi rawatan anti viral," katanya.

Dalam pada itu Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan kini hanya mengeluarkan perintah kuarantin mencegah penularan virus Influenza A(H1N1) yang melibatkan jumlah populasi besar seperti di institusi pendidikan iaitu sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Jelas beliau secara amnya kuarantin tidak lagi dilakukan secara rutin kerana kementerian yakin rakyat akan memberikan kerjasama dan patuh terhadap langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencegah dan mengurangkan penularan jangkitan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata negara sekarang berada pada fasa mitigasi dalam menangani wabak H1N1 yang menumpukan kepada rawatan pesakit di hospital.

"Sekarang kita memantau semua tempat yang ada wabak ini dan membuat sampel rawak, kita tidak boleh lagi mengambil semua sampel kerana terlalu ramai," katanya selepas merasmikan Seminar dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa ke-17 anjuran Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) di sini hari ini.

Beliau berkata jika ada kluster yang melaporkan kes demam, Jabatan Kesihatan akan membuat sampel rawak kluster untuk menjejaki punca wabak merebak.

"Setakat ini kita bersyukur kerana kluster yang merebak sudah boleh dikawal seperti di Melaka dan Cyberjaya, dan tidak merebak ke komuniti lain," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan