Umno Selangor bidas kerajaan negeri anjur perhimpunan

Diterbitkan: Isnin, 20 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Umno Selangor membidas tindakan kerajaan negeri mengadakan perhimpunan semalam kononnya bagi menuntut keadilan berhubung kematian setiausaha politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock pada Khamis lepas.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukur Idrus berkata pihaknya juga sangat kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang mempertikai dan menghina Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu terbabit.

"Beri masa kepada SPRM dan polis untuk menjalankan siasatan terperinci. Nampaknya kerajaan negeri Selangor tidak jalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sebaliknya mereka jadikan isu kematian Teoh sebagai agenda utama mereka adakan perhimpunan dan tunjuk perasaan.

"Banyak lagi perkara lain yang patut mereka lakukan untuk bela nasib rakyat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Shukur berkata kerajaan negeri dilihat seringkali mengambil kesempatan jika timbul sesuatu isu bagi menutup kelemahan mereka sendiri yang dilihat masih gagal membawa kemajuan kepada Selangor walaupun telah memerintah negeri itu selama setahun empat bulan.

"Kita harap polis tidak lagi keluarkan sebarang permit untuk penganjuran perhimpunan seperti itu kerana saya khuatir kalau perkara seperti ini berterusan, ia boleh mengganggu kesejahteraan negara dan kaum," katanya.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam di sini pada pukul 1.30 tengah hari selepas disoal siasat oleh pegawai SPRM.

Pejabat SPRM Selangor terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.

Teoh adalah antara saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri oleh beberapa wakil rakyat. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan