Muhyiddin: Beri keutamaan lahir guru berkualiti untuk ditempatkan di luar bandar

Diterbitkan: Isnin, 20 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penekanan atau keutamaan diberikan dalam melahirkan guru yang berkualiti dan mencukupi untuk ditempatkan terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mencadangkan perkara itu sebagai penambahbaikan kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 20062010 selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global, keperluan semasa, gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta merealisasikan apa yang digariskan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pelajaran.

Sehubungan itu, katanya, satu dasar penempatan guru yang responsif kepada keperluan rakyat perlu disediakan.

"Selain guru, kualiti pemimpin sekolah juga perlu dimantapkan. Sudah tiba masanya, pemilihan para pemimpin sekolah dilakukan bukan sahaja berdasarkan kekananan, tetapi juga melalui proses yang lebih telus dan memilih yang terbaik, berbakat dan mempunyai kualiti kepimpinan yang dinamik," katanya ketika merasmikan Persidangan Kajian Semula PIPP di sini hari ini.

Beliau berkata pemimpin sekolah perlu seorang yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang, komited, di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan dalam tugas seharian dan seterusnya mampu memberikan didikan yang terbaik kepada murid.

Sebagai penambahbaikan kepada PIPP, Muhyiddin turut mencadangkan agar usaha diteruskan dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan, produktif, kreatif dan inovatif.

Katanya tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha melahirkan pelajar yang holistik serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Sementara itu, katanya secara keseluruhan, hampir 300 pelan tindakan dalam kesemua teras PIPP telah berjaya mencapai 80 hingga 100 peratus sasaran pelaksanaannya.

"Untuk pelan tindakan yang masih belum mencapai sasaran, saya berharap agar setiap bahagian yang terlibat mengenalpasti segala cabaran dan kekangan serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keseluruhan matlamat PIPP dapat dicapai," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata walaupun penyertaan pada pendidikan rendah adalah tinggi, terdapat lebih 125,000 kanak-kanak di negara ini yang telah mencapai umur persekolahan peringkat rendah masih tidak mengikuti alam persekolahan.

Beliau berkata kebanyakan kanak-kanak itu adalah mereka yang tinggal di kawasan pendalaman dan terpencil.

Sehubungan itu, katanya, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi memastikan semua murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mendapat akses kepada pendidikan.

Muhyiddin turut mencadangkan agar pembangunan infrastruktur diteruskan memandangkan masih terdapat sekolah-sekolah yang daif dan usang, tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih serta perlu dinaiktaraf terutama di kawasan pedalaman.

Beliau juga mencadangkan perpaduan dalam kalangan murid dan warga pendidik perlu dipupuk dengan mewujudkan Kem 1Malaysia pada setiap tahun.

"Dalam kem ini, harapan saya agar lapan nilai konsep 1Malaysia akan dapat disemai dan ditanam kepada semua peserta dan seterusnya dapat mencapai matlamat gagasan 1Malaysia dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan